Berita Utama

Hospital Sungai Buloh sedia kontena khas simpan jenazah pesakit COVID-19

KKM memaklumkan 6 lagi kematian dilaporkan di hospital berkenaan semalam

KUALA LUMPUR, 5 Syawal 1442H, Isnin – Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah atau mayat mangsa COVID-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi hantaran di Twitter memaklumkan enam lagi kematian dilaporkan di hospital berkenaan semalam.

Menurut kenyataan itu, lebih 80 peratus kematian akibat jangkitan COVID-19 di negara ini adalah daripada golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi.

“Kebanyakan mereka mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat. Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk anda melindungi mereka,” menurut KKM.

Sebanyak 3,780 kes COVID-19 dengan 36 kematian direkodkan semalam manakala kes sembuh pula adalah 3,990.

Selain itu, 520 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 272 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan dan kes aktif COVID-19 di seluruh negara kini berjumlah 42,135. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button