Berita Utama

Sikap ‘lama’ UMNO makin menonjol

Tak mustahil UMNO-Bersatu-PAS rujuk semula bila hampir PRU-15

BANGI, 23 Syaaban 1442H, Isnin – Kemelut UMNO, Bersatu dan PAS menunjukkan petanda citra politik Melayu masih berkisarkan soal jawatan dan kekuasaan dalam meraih pengaruh dan dominasi politik.

Hakikatnya, perkara ini tidak menguntungkan orang Melayu pada masa hadapan apabila pertandingan tiga penjuru berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Atas dasar itu, ketiga-tiga parti disarankan duduk semeja dan melakukan rundingan serta mencari persepakatan menyelesaikan ketidaksefahaman.

Bagaimanapun, bagi Pensyarah Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan, krisis itu semakin melebar dan memberikan kesan besar kepada kelangsungan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, dengan sikap pimpinan UMNO yang semakin berusaha merealisasikan pemisahan ini, ia juga petanda berkemungkinan, sikap dan budaya lama dalam UMNO semakin menonjol.

“Bibit naratif membangkitkan kembali sikap UMNO dahulunya terkenal dengan sifat ‘mengepak’ dan ‘kepanglimaan’ dibangunkan kembali.

“Ia bakal memberikan kesan kepada kepercayaan pengundi memandangkan UMNO dikatakan masih gagal dalam penjenamaan semula akibat kekalahan dalam PRU-14,” katanya menulis di Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika benar UMNO mahu kekal dengan tiket BN, mereka perlu hadir dengan nafas politik baharu lebih segar yang bakal menguntungkan orang Melayu dan tidak berniat mencetuskan konflik perkauman.

“Perbalahan berkenaan kuasa akan merugikan semua. Malah, ia akan mencipta kesan jangka panjang khususnya generasi akan datang.

“Adalah lebih baik ahli politik memikirkan soal kelangsungan negara dan rakyat daripada terus-menerus memikirkan kelangsungan kumpulan ataupun parti,” katanya.

Meskipun begitu, Ariff Asyrul berpandangan situasi ini dilihat mungkin disebabkan penjajaran semula politik Malaysia.

Beliau berkata, tidak mustahil apabila hampir PRU-15, potensi UMNO-PAS-Bersatu rujuk semula akan berlaku.

“Jika itu berlaku, ia membenarkan parti berteraskan Melayu sebenarnya saling memerlukan demi kelangsungan orang Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button