Berita Utama

PDRM ketat pemeriksaan pergerakan rentas negeri mulai esok

Hanya mereka punyai kebenaran dibenar lakukan pergerakan

BANGI, 27 Rejab 1442H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan lagi pemeriksaan terhadap sebarang pergerakan rentas negeri mulai esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pemeriksaan itu dibuat bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai kebenaran saja dibenarkan untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

Katanya, seramai 36,000 pegawai dan anggota yang ditugaskan dalam sekatan jalan raya sudah diarahkan untuk mengenal pasti sebarang kesalahan yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan terutama mereka yang bergerak tanpa kebenaran.

“Walaupun jumlah kes harian COVID-19 dilaporkan menurun, namun rakyat tidak boleh mengambil ringan terhadap bahaya pandemik itu.

“Penurunan jumlah kes COVID-19 sebenarnya adalah bukti kerja keras dilakukan barisan hadapan dengan kerjasama orang ramai.

“Bagaimanapun, PDRM sedar perkembangan positif ini mungkin berubah menjadi negatif dalam sekelip mata jika orang ramai mengambil sikap sambil lewa,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Hamid berkata, sebanyak 260 sekatan jalan raya diwujudkan di seluruh negara terutama di laluan keluar dan masuk setiap negeri.

“Jumlah sekatan jalan raya diadakan ini cukup untuk mengawasi pergerakan orang ramai di seluruh negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button