Krisis Bersatu-UMNO: Empat negeri dijangka 'goncang’

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Pertembungan krisis politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO dijangka ‘menggoncang’ politik di beberapa negeri, khususnya Perak, Johor, Melaka dan Sabah.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, penarikan sokongan ahli Parlimen dari UMNO terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan selari di peringkat negeri.

Menurutnya, sudah pasti negeri yang diwakili ramai wakil rakyat dari UMNO akur arahan pimpinan Pusat untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya ia diputuskan pada Persidangan Agung UMNO (PAU) pada hujung bulan ini.

“Kesannya akan dapat dilihat secara jelas, akan berlaku ketidakstabilan Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat negeri itu. Di Perak dan Johor, sekiranya Bersatu tarik diri kerajaan akan tumbang, terutama apabila bergabung dengan Pas. Situasi sama di Melaka kerana tidak miliki majoriti kukuh manakala di Sabah, jika UMNO tarik diri akan tumbanglah kerajaan PN sebab membabitkan 14 kerusi Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mahfuz berkata, dalam konteks Kedah, keadaan agak selamat kerana UMNO hanya menang dua kerusi DUN, manakala Bersatu (enam).

Berdasarkan komposisi terkini, Perikatan Nasional Kedah dimonopoli Pas dengan 15 kerusi DUN, menjadikan keseluruhan adalah 23 kerusi.

Pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) pula dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak lima kerusi, Amanah (empat), DAP (dua) serta Pejuang (dua).

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tolak kerjasama dengan Bersatu: Keabsahan pada PAU

Artikel Berkaitan:

Pas akan jadi pendamai kemelut UMNO-Bersatu

“Kalau UMNO tarik diri diikuti Bersatu, dan mereka nyatakan sokongan kepada PH, kerajaan Kedah akan tumbang. Pendirian Pas sama ada memilih BN atau Bersatu yang akan menentukan kedudukan di Kedah. Saya percaya Pas Kedah pun dalam persimpangan sekarang,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, apa jua perubahan kelak bergantung kepada pendirian politik Pas.

“Bila berlaku krisis seperti ini, Pas tak boleh lagi berenang di dua kolam, kena pilih kolam yang mana,” katanya berkias.

Mahfuz turut menggambarkan kemelut politik Bersatu-UMNO kini sebagai opera politik.

“Pelbagai parti dalam kerajaan PN termasuk Pas masing-masing kini sedang bermain wayang. Krisis politik makin teruk, biasanya orang tetapkan tarikh bernikah, tapi mereka letak tarikh nak bercerai pada PRU15.

Umpama duduk serumah, bilik lain-lain. Inilah kerajaan yang ‘berkesedudukan’ bawah satu bumbung. Situasi terkini itu hanya akan memburukkan lagi keadaan negara,” katanya.

Mahfuz berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju dengan usul memutuskan kerjasama dengan Bersatu sehingga PRU1 dan keabsahan keputusan itu akan diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hujung bulan ini.

Tambah beliau, sekiranya Muhyiddin menuruti kehendak UMNO dengan melantik Timbalan Perdana Menteri dari kalangan pemimpin UMNO, ia bukan penyelesaian terbaik sebaliknya memburukkan lagi keadaan.

“Nampaknya tingkah laku UMNO bukan lagi untuk rakyat, politik negara dijual beli, ia bukan jual beIi yang menguntungkan rakyat. Siapa kuat, dia akan dapat untung,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz percaya kerajaan PN akan terus bergolak sekiranya kemelut itu masih gagal ditangani segera.

“Seeloknya selesaikan kemelut sebelum persidangan Parlimen Mac depan, kelak dalam keadaan macam ni, bagaimana Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) akan diluluskan? Tiada jaminan RMK12 boleh diluluskan dalam keadaan kerajaan pincang,” katanya.