MTUC sokong lebih ramai boleh keluarkan akaun satu KWSP

MTUC
MTUC
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan jumlah pencarum atau ahli yang boleh mengeluarkan wang daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melebihi 600,000 orang disambut baik Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Timbalan Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ia merupakan perkembangan positif susulan pengumuman Belanjawan 2021 di mana pengeluaran akaun tersebut bukan hanya untuk mereka kehilangan pekerjaan sebaliknya golongan yang kehilangan sejumlah pendapatan secara mendadak.

”Pada saya ia merupakan perkembangan positif dan kami amat mengalu-alukan keputusan Kementerian Kewangan dan KWSP bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

“Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan sudah tentu sangat memerlukan ketika ini tetapi bagi pekerja yang dipotong gaji dan elaun, saya fikir mereka juga perlukan wang juga,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa secara dasarnya kerajaan amat berat untuk membuat keputusan tersebut kerana bimbang dengan simpanan masa depan rakyat.

Bagaimanapun katanya, kerajaan dalam masa sama tetap mendengar keresahan rakyat mengenai kebenaran pencarum mengeluarkan wang daripada akaun satu KWSP dengan cara bersasar seperti yang diumumkan beliau dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Effendy berpendapat, pencarum KWSP perlu diberikan kebebasan dalam soal membuat keputusan untuk mengeluarkan wang caruman mereka.

“Kaedah Skim I-Lestari boleh digunakan bagi pengeluaran akaun satu ini. Pada saya sukar untuk kita tahu kriteria dan keperluan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Soal bagaimana mereka menguruskan kewangan itu bergantung kepada diri masing-masing. Jika boros dan sengaja membawa keluar wang walaupun tidak memerlukan, mereka akan menerima kesannya,” katanya.

Jelasnya, walaupun kebebasan diberikan kepada pencarum tetapi KWSP perlu memperkenalkan mekanisme dan formula pengeluaran tersebut berdasarkan simpanan ahli.

“Mungkin bagi mereka yang mempunyai lebih daripada RM50,000 simpanan, mungkin mereka boleh dibenarkan pengeluaran sehingga sebanyak RM10,000 dan bagi yang kurang, jumlah pengeluaran juga perlu mengikut simpanan semasa.

“Mungkin pencarum juga diberikan pilihan sama ada untuk mengeluarkan secara one off atau mengikut bulanan mengikut keperluan masing-masing,” katanya.