[VIDEO] Dewan Rakyat kecoh, Rayer dihalau keluar

Dewan Rakyat hari ini kecoh sehingga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diarahkan keluar dewan kira-kira 15 minit sebelum tamat sesi mesyuarat. (Gambar kecil: RSN Rayer)
Dewan Rakyat hari ini kecoh sehingga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diarahkan keluar dewan kira-kira 15 minit sebelum tamat sesi mesyuarat. (Gambar kecil: RSN Rayer)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 15 minit sebelum tamat sesi mesyuarat, Dewan Rakyat hari ini kecoh sehingga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diarahkan keluar dewan kerana mahu mempertahankan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau terdahulu berterusan mendesak Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) menarik balik kenyataan 'DG takut mati' ketika perbahasan Belanjawan 2021.

"Jangan hentam DG (Noor Hisham), tolong hormat beliau," katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said beberapa kali meminta Rayer untuk duduk, namun amaran tidak diendahkan memaksa arahan kepada Jelutong untuk keluar dewan.

Sementara itu, beberapa ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) turut bersuara menyokong Jelutong menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat untuk beberapa minit.

King Sing terdahulu ketika perbahasan menyentuh tentang kes koronavirus (Covid-19) di Sabah yang semakin teruk, namun mempertikaikan mengapa Noor Hisham tidak pernah turun padang.

"DG hari-hari buat (sidang akhbar) buat apa. Budak pejabat pun boleh baca... kenapa dia tak turun melawat tiap-tiap hospital, hospital sementara, pergi tengok bagi sokongan moral kepada petugas.

"Jangan hanya hantar doktor dan jururawat. Mereka tak takut mati tapi DG takut mati... timbalan pun tak pergi. Apa sudah jadi. Tak usahlah hari-hari nak buat publisiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

King Sing bagaimanapun enggan menarik balik kenyataan itu kerana mendakwa apa yang disebut adalah suara hati petugas barisan hadapan yang berada di lapangan.

Pada masa sama, King Sing turut membangkitkan rasa tidak puas hati beliau terhadap prosedur operasi standard (SOP) daripada KKM berkaitan kes membawa pulang abu mayat mangsa bunuh dari Taiwan ke Sibu Sarawak yang disifatkan menyusahkan pihak terlibat.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim selepas itu bangun mempertahankan King Seng.

"Maknanya Bintulu bukan nak hentam Noor Hisham tapi nak minta SOP yang dibuat tidak menimbulkan masalah kepada rakyat," katanya.

King Seng kemudiannya bersetuju dengan kenyataan Shahidan.