Feichtenbeiner puji rentak Gergasi Merah

Ifedayo meraikan jaringannya ketika menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat malam semalam. Foto: FB Selangor FC
Ifedayo meraikan jaringannya ketika menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat malam semalam. Foto: FB Selangor FC
A
A
A

KETUA Jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner memuji anak buahnya atas prestasi cemerlang ketika mengatasi Melaka 2-1 pada perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat malam semalam.

Jurulatih kelahiran Jerman itu gembira melihat pemainnya berjaya bermain baik di padang yang becak akibat hujan sebelum perlawanan.

“Sebagai jurulatih, saya amat gembira dengan kemenangan ini terutamanya dalam format kalah-mati dan bermain di padang yang becak bukanlah mudah, tetapi pemain saya dapat mengawal tempo permainan.

“Secara keseluruhan kami mengawal permainan separuh masa pertama dan Melaka hanya memberi cabaran menerusi set rancangan permainan, namun pada keseluruhannya, pemain kami mengawal perlawanan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Feichtenbeiner turut memuji corak pemainan ditonjolkan jentera seranganya, Ifedayo Omosuyi yang secara konsistennya mempamerkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain.

Pada perlawanan itu, Ifedayo menjaringkan gol pendahuluan menerusi tandukan hasil hantaran silang Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-21, sebelum pemain dari Nigeria itu menjadi perancang utama untuk jaringan Sandro da Silva pada minit ke-52.

Bagaimanapun Melaka mengurangkan jurang defisit menerusi Uche Agba tiga minit kemudian, tetapi ia tidak dapat menafikan juara 33 kali itu daripada menempah slot ke suku akhir.

Selangor akan bertemu finalis 2019 Kedah, pada perlawanan suku akhir sama ada 12 atau 13 November ini selepas Kedah mengalahkan Pahang 3-2 dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar Jumaat lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: