Annuar nasihat pemimpin BN tidak jadikan Jasa polemik

Annuar (kiri) menyampaikan ucapan ketika mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasa bahagian di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) hari ini. - Foto Bernama
Annuar (kiri) menyampaikan ucapan ketika mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasa bahagian di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menasihati pemimpin parti itu supaya tidak menjadikan penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 sebagai polemik.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, ini kerana penubuhan semula jabatan itu adalah sebagai jentera penyampai dasar kerajaan supaya lebih difahami rakyat di akar umbi

"Sebelum ini Jasa ditutup kerajaan PH (Pakatan Harapan), ini bererti tiada peruntukan dan pada Belanjawan 2021 Jasa diumumkan untuk ditubuhkan mulai tahun depan.

“Pada hemat saya, penubuhan ini bukannya untuk sekadar hidupkan Jasa dalam bentuk lama dan sudah tentu mempunyai idea tertentu. Pihak lain tidak usahlah wujudkan polemik sehingga terjadi tuduh-menuduh termasuk bagi mematikan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat 4 Peringkat UMNO Bahagian Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di sini hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh meminta supaya mendengar terlebih dahulu penjelasan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, parti itu percaya peruntukan RM85.5 juta untuk Jasa di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia adalah jumlah yang terlalu besar.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan menjelaskan kewajaran peruntukan sebesar itu untuk penubuhan semula jabatan tersebut yang disifatkannya berperanan sebagai 'pembesar suara'.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang dakwa Jasa dihidupkan semula

Belanjawan 2021 'cincai', terkilan Jasa diwujudkan semula

Peruntukan untuk Jasa hidupkan semula 'unit propaganda politik'

Sementara itu, Annuar berkata, kesemua parti komponen PN serta sekutu terutama BN sudah membuat ketetapan untuk meningkatkan solidariti dan kesepakatan dalam mendukung kerajaan semasa termasuk menyokong semua rang undang-undang yang dibawa PN termasuk Belanjawan 2021.

"Dalam hubungan ini, saya ingin membuat seruan kepada parti komponen BN supaya mendukung apa yang diisytiharkan Majlis Tertinggi (UMNO) seperti termaktub dalam kenyataan media ditandatangani Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Adalah sangat penting dalam saat ini kita kekalkan kesepaduan dan solidariti dalam PN, Muafakat Nasional dan berpegang kepada apa yang diisytiharkan presiden kerana yang diumumkan itu adalah hasil mesyuarat Majlis Tertinggi," katanya.

Menurutnya, kesemua 43 ahli Parlimen BN diarahkan oleh ketua whip supaya menyokong sebulat suara segala usaha kerajaan.

“Bagaimanapun, tidaklah menjadi satu kesalahan kita memberikan syor, pandangan dan membuat teguran terhadap apa-apa yang dikemukakan.

"Tetapi pandangan yang dikemukakan itu mesti berpandu kepada fakta bukan kepada ‘hearsay’ agar teguran dan pandangan kita lebih berkesan dan boleh membantu kerajaan," katanya. - Bernama