Pas Sabah inklusif, santuni semua di Sabah: Aliakbar

ALIAKBAR
ALIAKBAR
A
A
A

KOTA KINABALU - Pas adalah sebuah parti bersifat inklusif termasuk di Sabah dan menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang agama atau kaum, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dilantik Dr Aliakbar Gulasan.

Aliakbar yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Sabah berkata, tidak timbul soal jenama Pas sebagai parti Islam di negeri ini kerana perjuangan yang paling penting bagi parti itu ialah untuk memberi kesaksamaan kepada semua.

“Saya akan buktikan bahawa Pas adalah sebuah parti yang inklusif. Islam ini sebuah agama yang menyeluruh bukan hanya soal ibadah dan urusan ketuhanan, tetapi dalam semua urusan.

“Saya juga akan bekerja untuk agenda yang lebih luas seperti penjagaan alam sekitar, kebersihan, integriti dan lain-lain kerana itu adalah tuntutan agama. Di Kelantan, Pas sudah mentadbir selama 30 tahun, semua rakyat dijaga dengan adil dan saksama,” katanya.

Aliakbar mengangkat sumpah sebagai ADUN dilantik Sabah pada 8 Oktober lalu dan pelantikan itu menjadikan beliau sebagai pemimpin pertama Pas Sabah menjadi ADUN di negeri ini.

Pas merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP), dan PN bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk Gabungan Rakyat Sabah yang mentadbir kerajaan negeri Sabah masa ini.

Dalam pada itu, Aliakbar berkata, beliau amat menyedari bahawa Sabah memerlukan lebih banyak kemudahan serta infrastruktur awam, termasuklah menangani masalah bekalan air dan pembinaan jalan raya yang lebih baik.

“Saya juga akan mencadangkan supaya kerajaan menyediakan satu pelan strategik untuk meningkatkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat Sabah.

Artikel Berkaitan:

“Saya akan menunjukkan bahawa sebagai mewakili Pas, kami akan sentiasa mengutamakan integriti dan saya juga akan menunjukkan bahawa Pas sebenarnya sebuah parti yang menyantuni semua kaum dan agama," katanya.

Beliau berkata langkah integrasi nasional masa ini terutama melibatkan rakyat perlu diperkukuh untuk memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung terus bersatu demi menjamin kesepaduan serta keamanan jangka panjang. - Bernama