ADUN Jeram kecewa pendaftaran Pejuang belum selesai

Mohd Shaid Rosli
Mohd Shaid Rosli
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli kecewa dengan maklum balas daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menyatakan permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih dalam penelitian dan semakan.

Mohd Shaid berkata, beliau amat terkejut apabila permohonan pendaftaran Pejuang yang dibuat kira-kira tiga bulan lalu masih belum diselesaikan sepenuhnya berdasarkan semakan dalam sistem eROSES.

Menurutnya, beliau tidak bersetuju sepenuhnya dengan alasan RoS yang mendakwa Jawatankuasa Penaja Pejuang tidak melakukan semakan pada setiap permohonan dikemukakan terutama dokumentasi penting seperti perlembagaan parti.

"Setiap hari saya mengikuti perkembangan permohonan parti Pejuang ini kerana sebagai ADUN Bebas saya menunggu kelulusan parti Pejuang bagi membolehkan saya menyertainya," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Tegas Mohd Shaid, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan cara berhemah dan profesional tanpa menjadi ‘alat kerajaan’ yang bermotifkan politik.

"Saya juga merasakan wujud unsur pilih kasih ekoran pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang diluluskan oleh jabatan itu dengan kadar segera dalam proses yang amat meragukan.

"Saya meminta agar Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) lebih profesional dalam menjalankan tugas dan perlu menyelesaikan masalah ini bagi menjaga integriti kementerian," katanya.

Semalam, ROS dalam kenyataannya memaklumkan, permohonan pendaftaran Pejuang belum diselesaikan sepenuhnya berdasarkan semakan permohonan pendaftaran dalam sistem eROSES.

Artikel Berkaitan:

ROS memberitahu, pihak Jawatankuasa Penaja Parti perlu melakukan semakan terperinci pada setiap permohonan dikemukakan termasuk dokumentasi terutama perlembagaan yang menjadi rujukan utama sesebuah pertubuhan berdaftar.