[DIKEMASKINI] Annuar tanya undang-undang apa boleh halang rebut kuasa

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Di sebalik desas-desus rancangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membangkitkan pertanyaan mengenai undang-undang yang boleh diguna bagi menghalang perebutan kuasa politik ketika ini.

Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, Annuar meminta pandangan berhubung perkara tersebut yang berkait dengan ketakutan rakyat terhadap penularan koronavirus (Covid-19).

Menurut beliau, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi wajib diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan, namun rakyat meminta ia ditangguhkan kerana di kawasan zon merah.

"Tempoh DUN Sarawak tamat beberapa bulan lagi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) wajib di adakan namun semua orang takut apa yg berlaku di Sabah akan menimpa PRN Sarawak, mereka minta ditangguh dulu.

"Pelbagai pihak mengugut mahu menjatuhkan Perdana Menteri melalui sidang Parlimen bulan depan.

"Jika itu berlaku maka PM boleh bubarkan Parlimen dan PRU perlu diadakan.Tetapi rakyat tidak mahu pilihan raya kerana takut merebaknya Covid-19," katanya.

Sehubungan itu, Annuar bertanyakan mengenai undang-undang yang boleh diguna pakai bagi menangguhkan pilihan raya tersebut agar nyawa rakyat tidak terancam akibat Covid-19.

Kata Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, ketika ini ribuan rakyat menerima rawatan di hospital dan ribuan petugas barisan hadapan serta anggota keselamatan terpaksa menjalani kuarantin.

Artikel Berkaitan:

"Berbillion dana negara terpaksa dibelanjakan. Itu dalam keadaan Malaysia diitiraf dunia sebagai negara paling berjaya mengekang penularan wabak ini.

"Bagaimana agaknya kalau dalam tempoh dua tiga bulan ini, kita mendahulukan perebutan kuasa politik demi demokrasi di saat rakyat sedang bertarung nyawa dengan ancaman Covid-19?

"Kuasa apa dan undang undang undang mana boleh kita tangguh perebutan kuasa ini?... atau demi mendahulukan demokrasi dan takut di tuduh macam-macam oleh pembangkang, kita biarkan saja berlaku pilihan raya di sana sini. Nyawa rakyat serah pada takdir," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:15 soalan dan jawapan berkaitan darurat

PM menghadap Agong di Istana Abdul Aziz Indera Mahkota

Spekulasi darurat: Muhyiddin menghadap Agong