DAP hairan tindakan Zahid umum gencatan politik

Kenyataan Anthony Loke dalam Facebook hari ini berkenaan pengumuman gencatan politik oleh Zahid Hamidi.
Kenyataan Anthony Loke dalam Facebook hari ini berkenaan pengumuman gencatan politik oleh Zahid Hamidi.
A
A
A

SHAH ALAM - DAP mendakwa hairan dengan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gencatan politik meskipun parti itu berada dalam kerajaan Pakatan Nasional (PN).

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa Ahmad Zahid akui terdapat rancangan untuk menjatuhkan kerajaan PN.

“Cuma sekarang kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, mereka berdamai sementara.

“Gencatan politik merujuk kepada perdamaian sementara dua pihak yang bertentangan dalam politik khususnya di antara pihak dalam kerajaan dengan pihak yang berada dalam pembangkang.

“Yang peliknya, Presiden UMNO yang partinya berada dalam kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan gencatan politik,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Bekas Menteri Pengangkutan itu turut menegaskan bahawa beliau pernah mengemukakan pandangan mengenai gencatan politik pada Ogos lalu iaitu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Justeru, Ahli Parlimen Seremban itu meminta semua parti lebih berlapang dada dan bersedia untuk duduk di meja rundingan bagi menyelesaikan kemelut politik ketika ini.

“Pemimpin politik mesti bersedia untuk ‘provide leadership’.

Artikel Berkaitan:

“Mesej yang jelas mesti disampaikan kepada seluruh rakyat iaitu tidak ada pilihan raya umum sehingga tempoh Parlimen ke-14 berakhir, fokus seluruh tenaga untuk memerangi wabak Covid-19 dan merancakkan semula ekonomi,” ujarnya.

Berhubung pendirian Pemuda UMNO yang menolak kerjasama dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP, Anthony berkata, tiada seorang pun pemimpin DAP yang pernah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu.

Menurutnya, DAP konsisten dengan pendirian menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya Ahli Parlimen Port Dickson itu mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Selari dengan kerangka perjanjian yang dicapai dalam PH selama ini.

“Jangan lupa bahawa perjanjian ini telah pun dimeterai oleh semua parti dalam PH termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.