Ribuan rakyat hilang kerja jika kerajaan terus berpolitik

M Kulasegaran
M Kulasegaran
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran memberi amaran bahawa ribuan rakyat Malaysia bakal hilang pekerjaan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus sibuk berpolitik.

Menurutnya, berdasarkan laporan daripada pelbagai pihak bahawa lebih 51,000 kedai runcit di negara ini akan ditutup dalam empat hingga lima bulan ke depan.

"Ini disebabkan oleh kesan awal Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan perniagaan mula beralih ke e-dagang.

"Ini secara langsung boleh mengakibatkan kehilangan pekerjaan melebihi 150,000 pekerja.

"Sektor peruncitan mungkin menghadapi penguncupan sistemik dalam jangka waktu tertentu kerana berkaitan dengan industri pelancongan yang paling terjejas akibat krisis Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, di sebalik keadaan itu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus sibuk berpolitik dan gagal membantu industri peruncitan ini.

Beliau turut berpandangan sekiranya kerajaan Persekutuan terus sibuk berpolitik maka sudah pasti akan gagal untuk menghasilkan strategi yang berkesan untuk menyelamatkan industri ini.

"Kerajaan begitu sibuk merancang pengambilalihan Sabah dan merancang untuk menyelamatkan majoriti tipisnya di Parlimen sehingga meninggalkan kebajikan pekerja dan perniagaan di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan AS$3.21 bilion (RM13.8 bilion) untuk subsidi upah dan sebagai perbandingan, Singapura pula memperuntukkan AS$14.6 bilion untuk memberi subsidi atau membiayai bersama upah pekerja dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi.

Bagaimanapun menurutnya, subsidi upah di Singapura merangkumi semua pekerja, sementara di Malaysia hanya mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 layak mendapat subsidi gaji.

"Kelas profesional dan teknikal yang merangkumi 59 peratus daripada kehilangan pekerjaan, tidak dilindungi.

"Walaupun kadar pengangguran turun dari 5.3 peratus menjadi 4.7 peratus baru-baru ini, ia tidak menggambarkan keadaan perniagaan dan buruh sebenar di lapangan. Penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja masih berterusan," katanya.

Sehubungan itu, Kulasegaran menggesa kerajaan supaya memberi perhatian serius dan mengambil lebih banyak langkah untuk membendung pemberhentian dan penutupan perniagaan.