Masalah pengangguran, Pemuda Amanah mahu PM letak jawatan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletak jawatan kerana gagal menangani kesan pandemik koronavirus (Covid-19) dan ramai berdepan masalah pengangguran selain ekonomi negara.

Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithin berkata, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 13 Ogos lalu menunjukkan kadar pengangguran negara pada Ogos kekal pada 4.7 peratus iaitu penambahan 222,000 individu berbanding tahun lalu.

"Jumlah ini satu anggaran yang rendah kerana tidak mengambil kira mereka yang diberi cuti tanpa gaji atau masih bekerja dengan potongan gaji. Ini bukti permasalahan pekerjaan sangat meruncing apabila sebahagian besar rakyat menggesa kerajaan meneruskan moratorium.

"Bank Negara Malaysia (BNM) baru sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa lebih 750,000 peminjam masih memerlukan moratorium pinjaman dan angka ini jauh lebih tinggi daripada angka pengangguran rasmi. Keadaan ini dijangka tidak akan pulih dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, unjuran Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) pada 6 Oktober lalu menyebut ekonomi Malaysia menguncup kepada 4.0 peratus untuk 2020.

Katanya, Pengarah Eksekutif SERC, Lee Heng Guie pula memaklumkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan senario asas di mana rantaian perbekalan terganggu dan permintaan domestik lembap kerana tempoh yang lama bagi mengekang wabak tersebut.

"Melalui kesemua fakta ini, adakah Perdana Menteri sedar bahawa rakyat semakin susah untuk meneruskan hidup?

"Muhyiddin ternyata gagal dan harus meletakkan jawatan segera. Negara ketika ini memerlukan nakhoda baharu dengan jemaah menteri yang lebih efisien untuk membantu ekonomi rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan: