PBS sedia galas tanggungjawab

Maximus Johnity Ongkili
Maximus Johnity Ongkili
A
A
A

KOTA KINABALU - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dilantik sebagai Menteri dan Pembantu Menteri bersedia memikul tanggungjawab mereka untuk rakyat.

Menerusi pelantikan dua Menteri Kabinet dan tiga Pembantu Menteri daripada PBS dalam Kabinet, kerajaan baharu kini dapat berkhidmat kepada rakyat Sabah.

Presiden PBS, Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, semua ADUN PBS terlatih dan berpengalaman mentadbir serta berkhidmat untuk rakyat Sabah.

"Semua ADUN PBS yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, bersedia memainkan peranan terutama dalam jawatan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

"Semua ADUN PBS terlatih dan berpengalaman. Mereka berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat dan menyokong Ketua Menteri agar janji yang dibuat kepada rakyat pada pilihan raya lalu ditepati," katanya dalam kenyataan media semalam.

Katanya lagi, PBS berjanji untuk menyokong, bekerjasama dan membantu dengan pelbagai cara memastikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat menunjukkan prestasi yang baik termasuk membawa pembangunan yang diperlukan kepada akar umbi di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor kerana melantiknya dalam Kabinet.

Terdahulu, selain Joachim, turut dilantik ialah Datuk Jahid Jahim sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Datuk Joniston Bangkuai dilantik sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar; Datuk Julita Mojungki sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat manakala Hendrus Anding dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan.

Artikel Berkaitan: