Masih ada ruang wakil Cina sertai Kabinet Sabah: Penganalisis

Hajiji ketika mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.
Hajiji ketika mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.
A
A
A

LABUAN - Ketiadaan wakil masyarakat Cina dalam kerajaan Sabah yang baru dibentuk bukanlah sesuatu yang tidak boleh diperbetul, kata beberapa penganalisis.

Kata mereka, wakil Cina boleh dilantik mengisi satu daripada enam kerusi ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik yang boleh diwujudkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan negeri.

Mereka juga berpandangan satu portfolio khas boleh diwujudkan seperti Menteri di Jabatan Ketua Menteri bagi menjaga hal ehwal masyarakat Cina.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, kerajaan baharu yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Mohd Noor boleh melantik teknokrat atau golongan profesional untuk dicalonkan sebagai ADUN dilantik dan menteri kabinet negeri.

“Kami mahu melihat sebuah kerajaan negeri yang merangkumi pelbagai bangsa bagi memastikan tidak ada kaum yang terpinggir. Masyarakat Cina berhak mempunyai suara dalam Kabinet.

"Saya benar-benar yakin Ketua Menteri yang baharu dilantik Datuk Seri Hajiji Mohd Noor tidak akan mengetepikan mana-mana kaum,” katanya kepada Bernama.

Romzi berkata, kerajaan Sabah boleh menuruti langkah kerajaan Persekutuan yang melantik bekas ahli perbankan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Senator dan Menteri Kewangan.

Katanya, sejak sekian lama, komuniti perniagaan Cina menjadi tonggak ekonomi Sabah serta memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak harus meminggirkan mana-mana kaum di Sabah kerana keadaan itu hanya akan mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa selain membawa kesan ke atas perpaduan rakyat, baik dari segi sosial mahupun ekonomi, dalam jangka panjang.

"Kita tidak boleh biarkan kaum Cina berasa mereka dipinggirkan,” katanya.

Kaum Cina merangkumi lebih 11 peratus daripada keseluruhan penduduk Sabah.

Hajiji tidak boleh melantik wakil Cina sebagai timbalan ketua menteri berikutan tiada calon kaum itu daripada GRS yang menang pada pilihan raya negeri, 26 Sept lalu. Adalah menjadi tradisi di Sabah wakil Cina dilantik sebagai seorang daripada tiga timbalan ketua menterinya.

Pada pilihan raya negeri itu, prestasi calon Cina tidak memberangsangkan, malah bekas Ketua Menteri yang juga Presiden Kehormat Sepanjang Hayat Parti Liberal Demokratik (LDP) Tan Sri Chong Kah Kiat turut kalah di Inanam.

Bagaimanapun Hajiji dilaporkan berkata beliau akan melihat perkara itu dan akan membuat pengumuman apabila tiba masanya.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika dihubungi, juga menyatakan pandangan serupa dan berkata perkara itu akan dibincangkan.

Dua lagi timbalan ketua menteri ialah Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Presiden Parti Solidariti Tanahairku) dan Datuk Dr Joachim Gunsalam (Naib Presiden Parti Bersatu Sabah).

Profesor Madya Dr Geoffrey Tanakinjal daripada Kampus Antarabangsa Labuan UMS berkata, beliau yakin wakil-wakil komuniti akan dilantik ke pelbagai portfolio penting yang baharu agar kerajaan dapat membangunkan asas yang kukuh untuk ekonomi negeri, khususnya dalam bidang seperti kewangan dan pelaburan, minyak dan gas serta maritim.

“Saya harap wakil yang dipilih akan mengutamakan khidmat kepada rakyat dan bukan parti politik mereka. Hakikatnya, selalunya begitulah dan keutamaan diberi kepada penyokong mereka.

“Apabila ini berlaku, pasti akan wujud jurang dalam kedudukan sosial dan mungkin juga ekonomi.

“Apapun, kematangan pemimpin kita adalah kunci ke arah masa depan yang lebih baik. Tiada sesiapapun yang harus dipinggirkan. Sabah hanya akan dapat kembali gemilang jika kita bergerak sebagai satu entiti,” katanya.

Pengerusi Majlis Perniagaan BIMP-EAGA, Azhar Othman berkata, komuniti Cina mahukan sebuah kerajaan yang stabil, mesra perniagaan (menerusi pelaksanaan dasar ekonomi yang menyeluruh dengan insentif untuk pertumbuhan), jentera yang cekap dan sifar rasuah.

“Kalau kerajaan ada wakil (Cina) maka ia akan membantu, namun tidak semestinya teknokrat. Beberapa projek mega berpaksikan rakyat seperti Lebuhraya Pan Borneo mesti dihidupkan semula, dipercepat.

“Kerajaan negeri juga harus lebih telus dalam penganugerahan projek dan sebaiknya berdasarkan meritokrasi,” katanya.- Bernama