Tak praktikal adakan PRU dalam masa terdekat: Rais

Rais (lima dari kiri) menerima borang keahlian Bersatu daripada Penggerak Komuniti Negara Jelebu.
Rais (lima dari kiri) menerima borang keahlian Bersatu daripada Penggerak Komuniti Negara Jelebu.
A
A
A

JELEBU - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan bahawa tidak praktikal untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat kerana negara masih dilanda wabak Koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, perkara itu juga perlu mengambil kira sentimen rakyat yang kini sedang marah ekoran konflik politik yang tidak berkesudahan sejak PRU terdahulu.

"Pilihan raya tidak perlu diadakan sebab kita baru sangat berpilihan raya. Dalam masa dua tahun ini kita uji dahulu mekanisme.

"Apabila ia menyerlahkan dan membantu rakyat barulah kita setuju, tetapi kalau pilihan raya belum habis dua tahun kita nak pilihan raya lagi, saya fikir itu tidak praktikal.

"Rakyat ada lunas marah, oleh itu kita kena berjaga-jaga, lepas ini jangan lagi ada perubahan apa-apa yang melibatkan pilihan raya atau menukar pemimpin dalam keadaan Covid-19. Ini pegangan kita yang wajar dipertimbangkan dan terima," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai Majlis Permuafakatan di Dewan Masyarakat Cina Pertang di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 20 Ahli Jawatankuasa Penggerak Komuniti Negara kawasan Jelebu yang diketuai oleh Pengerusinya, Tang Jay Soon yang juga merupakan bekas Ketua Cabang PKR Jelebu menyerahkan borang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Rais.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ketua Bersatu Bahagian Jelebu berkata, soal siapa yang akan menjadi Perdana Menteri juga tidak sesuai dibincangkan ketika ini susulan wabak Covid-19 semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

"Pada saat ini tidak sesuai dibincangkan kerana rakyat mengutamakan masalah Covid-19, kita jangan berlumba-lumba mendapatkan tempat sebagai Perdana Menteri.

"Apa yang kita perlukan ialah semua parti politik bersatu tidak kira pembangkang dan pemerintah yakni membantu rakyat secara langsung," katanya.