Aminuddin yakin Anwar ada bukti sokongan majoriti

Aminuddin (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pesara, Harun Johari (dua dari kiri) pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2019 di Hotel Klana Resort hari ini.
Aminuddin (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pesara, Harun Johari (dua dari kiri) pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2019 di Hotel Klana Resort hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yakin bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, ini kerana bukan mudah untuk seorang pemimpin mengeluarkan kenyataan sebegitu lebih-lebih lagi ia melibatkan pihak istana.

"Bagi saya bukan mudah seorang pemimpin beri kenyataan tentang beliau dapat sokongan tanpa ada bukti, tanpa ada penzahiran oleh ahli Parlimen kerana ia libatkan istana.

"Saya yakin beliau ada nombor yang disebut dan saya juga yakin yang beliau sudah buat kerja dan dapat sokongan yang dinyatakan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2019 di Hotel Klana Resort di sini hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung dakwaan Anwar yang mempunyai majoriti hampir dua pertiga ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar yakin peroleh sokongan untuk jadi Perdana Menteri

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Aminuddin berkata, keputusan PRN tersebut tidak boleh dijadikan petunjuk kekuatan kepada mana-mana parti.

"Jika dilihat parti Parti Warisan Sabah (Warisan) misalnya mempunyai lebih peratusan kerusi Parlimen berbanding parti lain tetapi tak dapat jadi tunggak kerana tidak mendapat majoriti besar dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada pilihan raya baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Bila BN dan Perikatan Nasional menang sebahagian kerusi dan Parti Bersatu Sabah menang tujuh kerusi menunjukkan kepada kita di Sabah masyarakatnya pilih berdasarkan kawasan tertentu dan parti tertentu.

"Jadi untuk nyatakan kekuatan itu dari satu parti saja tidak tepat. Lagipun pengundi di Sabah mempunyai pelbagai etnik dan sudah tentu keputusannya adalah pelbagai" katanya.

Aminuddin turut berpendapat keputusan PRN Sabah tidak boleh dikatakan akan mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana senario politik pada tahun 2018 dan hari ini adalah berbeza.

"Ini kerana senario politik 2018 dan sekarang adalah berbeza. Kita tak nampak ada permuafakatan betul-betul telus hari ini dan nak ramalkan siapa yang menang pun sukar.

"Tapi bagi saya tak sesuai mengadakan PRU15 pada waktu terdekat. Faktor Covid-19 perlu diberi perhatian serius dan bukannya disebabkan politik," katanya.

Dalam pada itu, beliau bersyukur kerana ujian saringan Covid-19 yang dilakukan ke atasnya sebaik saja pulang daripada Sabah adalah negatif.