Parti orang muda tidak relevan, hanya melaga-lagakan

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berpendapat, penubuhan sebuah parti politik khusus untuk orang muda tidak relevan dan hanya akan melaga-lagakan parti sedia ada.

Pengerusi UMNO Johor itu juga berkata, tiada keperluan berbuat demikian lebih-lebih lagi suara golongan tersebut sentiasa didengari dalam parti politik sedia ada terutama BN.

"Kegagalan sesebuah parti menguruskan kerjasama dengan orang muda tidak boleh dijadikan asas untuk menubuhkan parti orang muda.

"Jika ditubuhkan parti tertentu (parti orang muda), akan ada pihak mahu menubuhkan parti orang tua dan wanita sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Memeterai Perjanjian Pembangunan Hartanah antara Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan Metallurgical Corporation of China Bhd. (MCC) Singapura di Hotel Double Tree di sini hari ini.

Hasni mengulas cadangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu menubuhkan parti khusus untuk orang muda baru-baru ini.

Bagaimanapun, banyak persoalan dibangkitkan mengenai objektif sebenar parti itu dan kemampuannya untuk menarik pengundi muda kerana akan menjadi parti berasaskan golongan muda yang pertama ditubuhkan sejak merdeka 63 tahun lalu.

"Kita hormat kebebasan individu untuk menubuhkan parti politik namun di Johor tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Ini kerana bagi BN Johor, kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan orang muda, setiap parti mempunyai sayap pemuda termasuklah MCA dan MIC," katanya.

Artikel Berkaitan: