Amanah Kota Raja nafi 545 ahli keluar parti

Abdul Mutalib pada sidang media bersama 32 Ketua Cawangan Amanah Kota Raja di Klang malam tadi.
Abdul Mutalib pada sidang media bersama 32 Ketua Cawangan Amanah Kota Raja di Klang malam tadi.
A
A
A

KLANG - Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kota Raja menafikan terdapat seramai 545 ahli dari kawasan itu yang keluar parti bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaliknya menurut Ketua Amanah kawasan tersebut, Abdul Mutalib Adam, daripada jumlah itu hanya lima individu dikenal pasti sebagai ahli parti.

Bagaimanapun katanya, tindakan lima individu itu tidak menjejaskan Amanah Kawasan Kota Raja yang mempunyai 2,200 ahli membabitkan 32 cawangan.

"Kami mengambil maklum akan berita sebahagian ahli jawatankuasa kepimpinan kawasan yang telah menyerahkan borang untuk menyertai Bersatu.

"Bagaimanapun jumlah sebenar ahli dan pimpinan yang menyertai Bersatu tidak dapat kami pastikan dan masih dalam siasatan.

"Hanya lima yang dikenal pasti sebagai ahli dan kami ingin menegaskan bahawa barisan kepimpinan dengan kekuatan daripada 32 cawangan masih kekal utuh dan kuat," katanya pada satu sidang media di sini malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: 545 ahli Amanah sertai Bersatu

Mengulas lanjut Abdul Mutalib berkata, kesemua cawangan terbabit baru selesai mengadakan mesyuarat tahunan dan menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi kepada Amanah dan Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Amanah Kota Raja mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan bekas pimpinan dan ahli Amanah sepanjang mereka berkhidmat.

Pagi semalam, Bersatu Selangor menerima borang keahlian daripada 545 bekas ahli Amanah Kawasan Kota Raja.

Penyerahan dilakukan oleh bekas Ahli Jawatankuasa Amanah Selangor, Jaafar Samsudin kepada Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari di pejabatnya di Plaza Masalam, Shah Alam.