Selangor Pistons congak langkah

Pengalaman Farhan menjadi senjata terbaik Selangor Pistons dalam memburu kedudukan empat terbaik pada saingan Divisyen Premier STL 2020.
Pengalaman Farhan menjadi senjata terbaik Selangor Pistons dalam memburu kedudukan empat terbaik pada saingan Divisyen Premier STL 2020.
A
A
A

PENDATANG baharu, Selangor Pistons menyasarkan kedudukan empat terbaik pada saingan Divisyen Premier Liga Sepak Takraw (STL) 2020 yang bakal berlangsung mulai 18 September hingga 11 Oktober ini.

Menurut apit kiri Selangor Pistons, Farhan Adam, sasaran itu dianggap realistik berdasarkan reputasi pasukannya yang tampil selaku juara Divisyen Satu tahun lalu.

“Tetapi secara peribadi saya meletakkan sasaran untuk menjuarai saingan Premier STL 2020 berdasarkan komitmen dan semangat dipamerkan para pemain pada kejohanan tahun ini.

“Kali ini Selangor Pistons diperkuatkan dua pemain baharu yang berpengalaman. Saya boleh katakan kali ini Selangor Pistons memiliki barisan pemain pengalaman yang akan menjadi taruhan untuk kami memberikan saingan,” katanya.

Sebagai rekod, Selangor Pistons muncul juara Divisyen Satu STL 2019 selepas menundukkan Pahang Mammoth 2-0 pada aksi final di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Ketika itu, Farhan yang digandingkan dengan Yusyairil Amir Yusof dan Hafiz Rahman menjinakkan gandingan Salim Sa'id, Aleff Helmie Musa dan Ariff Mohammad 21-15, 21-12 dalam masa 64 minit.

Mengenai sesi latihan, Farhan berkata, mereka sudah pun turun ke gelanggang sejak tiga minggu lalu dalam usaha memantapkan keserasian dalam kalangan setiap pemain.

“Buat masa ini, kami mengadakan sesi latihan pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad yang mana tumpuan diberikan kepada memperbaiki kelemahan bahagian tertentu dalam pasukan,” jelas Farhan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Farhan berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya tidak berdepan masalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, kami sedang membiasakan diri dalam normal baharu ini. Biarpun sedikit janggal tetapi demi keselamatan dan kesihatan, saya anggap ia sesuatu yang baik,” ujarnya.

Selain Selangor Pistons, sebanyak sembilan pasukan lagi bakal beraksi dalam saingan Divisyen Premier iaitu KL Thunders, Johor Tigris, Negeri Sembilan Antlers, ATM Guardians, PDRM Defenders, Kelantan Warriors, Perak Bison, Penang Black Panthers dan Pahang Mammoth.

Terdahulu, saingan Divisyen Satu akan membuka tirai dari 8 hingga 13 September dengan melibatkan penyertaan lapan pasukan iaitu Terengganu Turtles, MASUM-UPM Knights, Putrajaya Cyborg, Bomba Fighters, Perlis Vipers, Melaka Titans, PSM Mavericks dan Kedah Eagles.