Langkah MIC keluar PN tepat: Mohamed Khaled

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan keputusan MIC menarik balik keputusan menyertai pendaftaran Perikatan Nasional (PN) adalah tepat.

Bekas Menteri Besar Johor itu mengucapkan tahniah kepada MIC yang merupakan sekutu lama UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN).

"PN yang parti terasnya adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), apabila memutuskan untuk membuka keahlian pada semua kaum sebenarnya tidak memerlukan MIC mahupun MCA.

"Lagipun sebagai parti antara yang terawal dalam komponen BN, wajar MIC bersama-sama UMNO dan MCA terus memperkasakan BN seperti saranan Presiden UMNO," katanya menerusi status terbaharu dalam Facebooknya, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: MIC tarik semula penyertaan dalam PN

Keanggotaan MIC dalam jawatankuasa penaja PN dimaklumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 23 Ogos lalu.

MIC memberi alasan mereka menyertai PN atas kepercayaan akan turut disertai UMNO dan rakan komponen BN yang lain.

Namun difahamkan selepas itu, MIC diberi pilihan menyertai sama ada BN atau PN kerana sesebuah parti tidak boleh menganggotai lebih daripada satu gabungan parti.

Susulan itu semalam, MIC semalam mengumumkan keluar daripada PN atas alasan UMNO dan BN tidak bersama-sama dalam PN.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled berkata, BN adalah satu jenama politik yang telah diuji sejak sekian lama berbanding gabungan politik lain.

"Dulu curi Ahli Parlimen, sekarang nak umpan parti gabungan BN pula," katanya yang dipercayai merujuk kepada keputusan MIC menyertai gabungan PN.