Ahmad Jaafar Abd Hamid

KUALA LUMPUR – Syarikat Internet of Things (IoT) milik Tenaga Nasional Berhad, Maevi Sdn Bhd (Maevi) dinobatkan sebagai pemenang anugerah Frost & Sullivan bagi kategori ‘2020 Malaysia Energy Management Solutions New Product Innovation’ pada 18th Annual Asia-Pacific Best Practices Awards baru-baru ini.

Maevi, peneraju sistem pengurusan tenaga pintar bagi bangunan, dimiliki TNB menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES).

Majlis anugerah yang julung kali diadakan secara maya itu berlangsung pada 8 Julai lalu.

Sebanyak 15 pemenang anugerah dari rantau Asia Pasifik diumumkan untuk enam sektor utama iaitu Automotif, Tenaga, Industri Pembinaan dan Alam Sekitar, Kesihatan, ICT dan Logistik.

Anugerah Frost & Sullivan itu mengiktiraf pelbagai syarikat yang memacu trend positif di peringkat Asia Pasifik berdasarkan kajian menyeluruh membabitkan petunjuk prestasi masa nyata seperti penguasaan pasaran, pertumbuhan pulangan, jumlah pelanggan dan inovasi teknologi.

Anugerah telah diterima secara maya oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maevi, Izham Ismail.

Pengerusi Maevi merangkap Pengarah Urusan TNBES, Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd Hamid menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu lagi pengiktirafan besar kepada usaha TNB dalam membangunkan dan mempromosikan kecekapan tenaga.

”Ia juga menjadi penanda aras baharu bahawa TNB akan terus memacu ke hadapan dalam bidang kecekapan tenaga,” katanya.

Maevi yang membangunkan produk berasaskan IoT menyediakan peranti pemantauan tenaga yang membantu pengguna mengawal penggunaan elektrik secara berhemah.

Selain itu, Maevi menawarkan peranti pemantauan keselamatan dan automasi kediaman pintar yang boleh dikawal melalui telefon pintar. Maevi turut membangunkan sistem pengurusan tenaga pintar untuk bangunan komersil, Maevi B. – MalaysiaGazette