KFA hantar surat pelawa Aliff Syukri taja Lang Merah

Aliff Syukri dan Muhammad Sanusi
Aliff Syukri dan Muhammad Sanusi
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) telah mengutus surat pelawaan penajaan kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman untuk menaja skuad Lang Merah.

Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, surat berkenaan dihantar minggu lalu untuk mempelawa hartawan itu meneliti rundingan terma dan syarat sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

“Saya sudah tandatangani surat itu dan dihantar minggu lalu. Datang berunding dan kita mahu lihat apa manfaat yang kita dapat, kalau secara sukarela, alhamdulillah.

“Kalau beliau minta apa-apa yang boleh kita tunaikan, kita tunaikan. Kalau minta sesuatu yang tidak boleh kita berikan, kita akan berhenti setakat itu saja,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, apa yang KFA lakukan ini menunjukkan keseriusan untuk berunding dengan sesiapa sahaja yang berminat dan tidak mahu hanya sekadar menjadi tajuk di dada akhbar.

Katanya, selain Aliff Syukri, pihaknya turut mendekati beberapa penaja lain yang berpotensi.

“Ada yang tunjukkan maklum balas positif, ada yang senyap. Kita tetap akan teruskan perjuangan untuk mantapkan KFA dan pasukan,” katanya.

Sebelum ini, pengasas syarikat kosmetik terkenal, D'Herb Holdings itu mengakui masih berminat dengan skuad Lang Merah, untuk menjadi pemilik pasukan Kedah seperti dinyatakan syarat penswastaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Artikel Berkaitan:

Selain Kedah, Aliff dikatakan turut meneliti pasukan lain dan masih menilai pasukan yang menepati kriteria seperti mempunyai jumlah penyokong yang ramai dan berpengaruh.

Pada 2016, Aliff pernah dikaitkan berunding dengan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menaja pasukan namun perbincangan kedua-dua pihak menemui jalan buntu.