Saya bukan untuk dijual beli: Salahuddin

Salahudin (tengah) menerima memorandum daripada wakil penduduk berkenaan masalah rumah terbengkalai di Taman Desa Kempas, Johor Bahru, hari ini.
Salahudin (tengah) menerima memorandum daripada wakil penduduk berkenaan masalah rumah terbengkalai di Taman Desa Kempas, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menafikan beliau dan lima lagi Ahli Parlimen parti itu akan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram itu menyifatkan, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan merupakan satu fitnah serta perang saraf dilakukan pihak tertentu.

"Saya rasa begitu hebat kerana kami berenam daripada parti Amanah, dikatakan saya akan ketuai untuk keluar Amanah dan sertai PN. Setakat ini saya berada di Parlimen Pulai sdan masih setia dengan perjuangan saya. Saya tidak akan mengkhianati amanah dan mandat rakyat Pulai yang diberikan kepada saya.

"Saya tidak akan melompat parti (menyertai Bersatu dan PN), begitu juga lima rakan saya yang merupakan Ahli-ahli Parlimen daripada Amanah. Saya bukan barangan untuk dijual beli," katanya dalam sidang akhbar selepas penyerahan memorandum penduduk Taman Desa Kempas kepada beliau di sini hari ini.

Selain Salahuddin, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Dr Hasan Baharom (Tampin), Mohd Anuar Tahir (Temerloh), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Datuk Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut) disebut-sebut akan menyertai Bersatu.

Pengumuman keenam-enam Ahli Parlimen itu didakwa dibuat serentak dalam satu majlis bersama 11 lagi Ahli Parlimen PKR yang keluar parti diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada minggu depan.

Menerusi penyertaan tersebut ahli Parlimen Bersatu didakwa akan bertambah menjadi kira-kira 40 orang dan seterusnya menjadi parti terbesar dalam PN.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, tindakan itu dilakukan pihak yang terdesak kerana PN mempunyai majoriti yang tipis dalam Dewan Rakyat iaitu PN memiliki 111 undi manakala Pakatan Harapan (PH) 109 undi semasa pengundian calon Speaker baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga katanya, semasa pengundian Bajet tambahan di Dewan Rakyat kelmarin, PN hanya memperoleh 111 undi manakala PH 106 undi disebabkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalannya, Christina Liew tidak hadir kerana menjalani proses mahkamah di Kota Kinabalu.

Mengenai wakil yang datang menawarkan agar beliau menyertai PN, Sallahuddin berkata, perkara sudah dilakukan sejak sebelum pembentukan kerajaan PN lagi termasuk baru-baru ini.

Salahudin juga menafikan dakwaan beliau akan mengetuai ADUN-ADUN di Johor untuk melompat parti bagi untuk menubuhkan kerajaan PN baharu.