Guna fakta sahih dalam isu sejarah: Nancy

Nancy Shukri (kanan) meneliti kandungan buku 'Still The Greatest Malaysian Personal Reflections and Reminiscences on Tuanku Abdul Rahman Putra' selepas merasmikan Majlis Polemik Sejarah Malaysia sesi ke-44 'Institusi Diraja' hari ini. -Foto Bernama
Nancy Shukri (kanan) meneliti kandungan buku 'Still The Greatest Malaysian Personal Reflections and Reminiscences on Tuanku Abdul Rahman Putra' selepas merasmikan Majlis Polemik Sejarah Malaysia sesi ke-44 'Institusi Diraja' hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat perlu menggunakan sumber yang sahih dan fakta yang betul dalam penulisan bagi memperoleh persamaan dan kebenaran dalam isu sejarah yang dipolemikkan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, perdebatan atau polemik di media sosial adalah positif dan merupakan satu perkembangan yang baik namun polemik yang tidak tepat dan tiada kesudahan boleh memberi kesan buruk sekiranya tidak dibincangkan secara beradab, ilmiah dan didukung dengan fakta yang betul.

“Pada hemat saya, adalah menjadi satu keperluan kepada masyarakat untuk memastikan maklumat sejarah yang ditulis adalah tepat dan diperoleh dari sumber yang sahih.

“Ini bagi membolehkan tafsiran yang diberikan mempunyai asas yang jelas serta berwibawa, bukan bersifat emosi dan menjadi tular tanpa asas yang kukuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Polemik Sejarah Malaysia (MPSM) sesi ke-44 bertemakan ‘Institusi Diraja’ di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai institusi diraja, beliau berkata institusi itu memainkan peranan yang begitu penting ketika negara berdepan dengan sesuatu keadaan yang tidak menentu.

“Tanggungjawab untuk memelihara keamanan dan kedamaian serta rujukan atau ‘semak dan imbang’ terutamanya acap kali ditempatkan di bawah lindungan Yang di-Pertuan Agong di peringkat kebangsaan dan Raja-Raja di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berharap agar MPSM yang dianjurkan Arkib Negara kali ini dapat menghimpunkan buah fikiran dan titik pertemuan daripada pakar sejarah dan ahli akademik selain turut berharap pembentangan, perbincangan dan pandangan para peserta dapat membantu merungkai persoalan berkaitan ‘Institusi Diraja’. - Bernama

Artikel Berkaitan: