Stadium Ragbi Nasional mula bina bulan depan

Dari kiri, Dekan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi UiTM, Prof Madya Dr Mohad Anizu Mohd Nor; Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Azraai Kassim; Shahrul Zaman Yahya dan Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil pada majlis menandatangani MoU antara KRM dengan UiTM Shah Alam semalam.
Dari kiri, Dekan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi UiTM, Prof Madya Dr Mohad Anizu Mohd Nor; Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Azraai Kassim; Shahrul Zaman Yahya dan Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil pada majlis menandatangani MoU antara KRM dengan UiTM Shah Alam semalam.
A
A
A

STATUS pembinaan Stadium Ragbi Nasional pertama negara akan bermula bulan depan dengan kapasiti tempat duduk penonton dikurangkan kepada 1,250.

Menurut Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, stadium yang dibina di Presint 14, Putrajaya melibatkan kos sebanyak RM17 juta itu mempunyai kawasan luas yang mampu menampung kapasiti penonton sehingga 5,000 orang dalam satu masa.

Pada masa sama katanya, KRM juga berhasrat menambah kapasiti tempat duduk penonton di stadium yang dibina secara modular itu sekiranya bajet tambahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diluluskan kerajaan.

“Syukur alhamdulillah masih dalam perancangan dan saya difahamkan kerja-kerja pembinaan bakal bermula di Presint 14, Putrajaya dalam bulan September ini.

“Pada asalnya kita minta 5,000 dari segi kapasiti tempat duduk penonton tetapi dapat 1,250, tapi jika kita lihat dari segi penonton yang hadir berdiri dan duduk sekeliling padang, kita boleh dapat 5,000 penonton.

“Stadium ini sebenarnya dibina secara modular jadi apabila kita dapat dana tambahan daripada kerajaan atau swasta pada masa depan maka stadium itu boleh dinaik taraf secara berperingkat-peringkat,” katanya pada sidang media majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KRM dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam semalam.

Shahrul Zaman (dua kanan) menyerahkan jersi skuad ragbi negara kepada Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim selepas majlis berkenaan.
Shahrul Zaman (dua kanan) menyerahkan jersi skuad ragbi negara kepada Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim selepas majlis berkenaan.

Projek itu dijadualkan bermula pada Mei lalu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sekitar 18 hingga 24 bulan, namun pandemik Covid-19 membataskan kerja pembinaan.

Artikel Berkaitan:

Stadium itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti gimnasium, pusat rawatan, ruang komersial dan padang latihan yang akan dibina secara berperingkat.

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, KRM juga sedang mengkaji semula keperluan mendapatkan khidmat jurulatih luar negara bagi membimbing skuad lelaki dan wanita tujuh sepasukan negara.

Menurutnya, program latihan kedua-dua skuad kebangsaan itu setakat ini berjalan mengikut perancangan dengan dikendalikan jurulatih tempatan.

“Setelah dimaklumkan oleh Majlis Sukan Negara, kita terpaksa melihat semula dari segi kos kerana sebahagian besar dana kerajaan diperuntukkan untuk tujuan menangani kesan Covid-19,” jelasnya.