Tidak sampai dua minggu berkuasa, Menteri Besar Kedah Muhamad Sanusi Md Nor dilihat seolah-olah meremehkan pandangan rakyat yang menegur sikap beliau yang tidak mengendahkan isu kepentingan alam sekitar di negeri itu.
Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Raja Bahrin Shah berkata, ketika ini Menteri Alam Sekitar perlu bertindak segera dan tidak boleh hanya berpeluk tubuh sehingga isu pembalakan di Kedah menjadi isu besar di peringkat nasional.
Namun katanya, Tuan Ibrahim Tuan Man seakan-akan sepi membisu tidak tahu apa hendak diperkatakan tentang dua negeri Pas termasuk Kelantan yang mempunyai sejarah masalah balak dan alam sekitar.
Menurutnya, isu kelemahan pentadbiran alam sekitar dua negeri kerajaan Pas itu mesti ditangani segera memandangkan masyarakat Melayu di kawasan kampung adalah golongan petani yang daif.
“Bukankah kerajaan PN mengakui berjuang untuk kepentingan Melayu-Islam kampung?
“Janganlah pula Menteri Besar Pas mudah dipujuk serta ditundukkan oleh ‘tokey’ balak kaya yang akan menjejaskan hidup petani serta pekebun miskin di kampung.
“Merekalah yang lebih perlu pembelaan dan bukan peniaga besar tauke balak,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menyentuh kembali tentang kerosakan hutan di Kelantan selama puluhan tahun di bawah kerajaan Pas yang menyaksikan berlakunya banjir dahsyat pada tahun 1984.
Malah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu itu berkata masalah puluhan tahun bekalan air paip Kelantan telah menjadi lebih meruncing pada masa ini.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar Tuan Ibrahim mengambil berat isu yang timbul ketika ini oleh kerana Hutan Simpan (HS) Ulu Muda bakal menjejaskan bekalan air petani di Kedah dan juga bekalan air awam Negeri Perlis dan Pulau Pinang.
“Campur tangan tegas Tuan Ibrahim dari kerajaan pusat amat diperlukan bagi mengelakkan masalah besar bekalan air tiga negeri utama utara Malaysia.
“Isu alam sekitar hutan Kedah ini akan menjadi masalah utama nasional jika ianya masih berterusan,” tambah bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi.
Pendirian Sanusi untuk mempertimbang membuka kembali konsesi balak di Ulu Muda yang telah digazetkan sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) mengundang kritikan banyak pihak.
Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah memberi alasan pertimbangan itu bagi mengelak membayar tuntutan ganti rugi hampir RM1 bilion oleh 40 konsesi balak ekoran arahan pemberhentian semua aktiviti pembalakan sebelum ini.
Ketika PH mentadbir Kedah, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah membatalkan semua permohonan pembalakan di kawasan Hutan Simpan (HS) Ulu Muda bahkan menambah keluasan kawasan tadahan air di HS Ulu Muda sebanyak 209 peratus kepada 123,855 ekar.