Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menyatakan rasa hairannya apabila kawasan Parlimen Bandar Tun Razak masih gagal ditawan oleh Barisan Nasional (BN).

"Bandar Tun Razak (BTR) merupakan satu kawasan yang saya tidak tahu kenapa BN boleh kalah dua kali (dalam pilihan raya).

"Sebab BTR ini refleksi Malaysia, sebab Melayu, Cina dan India sama banyak. Walaupun sekarang ini Melayu lebih sikit, saya tak faham kenapa," soal Tengku Adnan semasa berucap merasmikan Karnival Ceria dan Sukan Komuniti Jom Bantu Rakyat di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno, kerajaan telah menunaikan segala permintaan mahu pun tuntutan komuniti Parlimen itu namun ia masih belum dapat meyakinkan pengundi kawasan tersebut bagi memilih calon Umno-BN.

"Apa salah kerajaan ini? Nak rumah kita bagi rumah, nak jalan raya kita bagi jalan raya, nak sekolah kita bagi sekolah, bas percuma untuk anak-anak ke sekolah tak minta pun kita bagi kerana kerajaan sedar kawan-kawan kita dalam kekangan kehidupan.

"Jadi kita bantu dan DBKL keluarkan lebih RM13 juta setahun untuk bantu. Jadi, apa lagi saya tak tahu nak buat," rungut Tengku Adnan.

Kalau ikut hati...

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga anggota Parlimen Putrajaya berkata, secara peribadi, jika diikutkan hati beliau tidak lagi mahu membantu pengundi kawasan Parlimen tersebut.

Namun, kata Tengku Adnan yang mesra dengan panggilan Ku Nan, beliau tidak akan berbuat demikian kerana dirinya telah dididik dengan baik agar terus membantu rakyat walau pengundi Parlimen itu tidak mengundi kerajaan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

"Ini suruh cat (Perumahan Awam Seri Johor) kemudian minta baiki pula.

"Tempat ini, BTR kita kalah dan kalau ikut hati sayalah secara peribadi (tak bantu).

"Saya dididik oleh PM dimana dia memberi kunci politik yang mendidik saya agar bantu rakyat tak kiralah siapa mereka sokong kerana dia rakyat Malaysia.

"Ini PM yang kita ada, PM yang sayangkan rakyatnya, dia arah saya agar bantu rakyat tak kiralah mana mereka sokong kerana dia rakyat Malaysia," kata Ku Nan.

Oleh demikian, Ku Nan menyeru semua pihak khususnya pengundi Parlimen Bandar Tun Razak agar ingat jasa BN sekali gus memberikan undi mereka kepada parti pemerintah itu.

"Saya nak rayu bila ada pilihan raya esok, tolong. Tolong ingat jasa BN dan pangkah BN. Itu saja, supaya nanti jangan kita menang sorak tapi kampung tergadai," tambah Ku Nan.

Lihat Komen
ADS