Sahabat FC muncul juara bola sepak 9 Sebelah

0
BERSAING: Semie (belakang enam kiri) bersama jawatankuasa penganjur serta pasukan yang bertanding pada kejohanan itu.

BERSAING: Semie (belakang enam kiri) bersama jawatankuasa penganjur serta pasukan yang bertanding pada kejohanan itu.

LAWAS: Pasukan Sahabat FC dari Merapok, Lawas muncul juara kejohanan bola sepak sembilan sebelah terbuka di SK Merapok di sini sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200.

Naib juara dimenangi QQCS FC dari Sindumin, Sabah menerima hadiah wang tunai RM800.

Manakala Punang FC dan Mevee FC berkongsi kedudukan ketiga dengan membawa pulang RM300.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Sari, Kaunselor Semie Nasip berkata kejohanan itu sebagai landasan terbaik kalangan belia di Lawas daripada terjebak masalah sosial.

“Aktiviti sukan perlu diperbanyakkan bagi menggalakkan belia lebih aktif dalam program kesukanan sekali gus menangani masalah dadah,” katanya pada penutupan kejohanan itu di sini.

Pada masa sama, beliau mahu semua pihak terutamanya agensi seperti PEMADAM lebih proaktif menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk membuka cawangan kecil setiap kampung di Merapok.

Sebanyak 32 pasukan bertarung pada kejohanan itu termasuk 25 pasukan dari Sarawak dan tujuh pasukan dari Sabah.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Belia Merapok Laut dengan kerjasama Hao Wei Seafood Restaurant (Lo Ho).

Hadir sama ialah Pengerusi Penganjur, Jabat Gani dan ahli-ahli jawatankuasa lain.