Bayaran yuran tinggi jejas kedatangan pelancong ke Beaufort

0

BEAUFORT: Kadar yuran baharu yang dikuat kuasa Jabatan Perhutanan Sabah terhadap pelancong yang berkunjung ke kawasan Weston, Gerama dan Klias dikhuatiri menjejaskan kedatangan pelancong ke kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Ombi meminta Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) supaya memberi pertimbangan yang wajar dengan mengekalkan kadar yuran lama.

Beliau memohon supaya JPS melihat perkara itu dari perspektif positif dalam menggalakkan lagi kedatangan pelancong demi kebaikan semua pihak.

Katanya, impak daripada pelaksanaan caj yuran yang tinggi di Klias telah pun memberi kesan yang ketara terhadap kedatangan pelancong ke kawasan terbabit dan tidak mustahil sekiranya dilaksanakan di Weston dan Gerama ia sudah tentu akan memberi kesan yang sama.

“Bayaran yuran yang dikenakan terhadap pelancong amat tinggi dan sudah semestinya ianya akan menjejaskan kedatangan pelancong terutama ke Klias, Weston dan Gerama.

“Bukan itu sahaja, kesan dari caj yuran ini ia secara tidak langsung turut menjejaskan ekonomi penduduk kampung yang terlibat dalam bidang pelancongan.

“Sekiranya kedatangan pelancong tidak begitu memberangsangkan sudah pasti ia akan menjejaskan ekonomi penduduk kampung dan lebih parah menyebabkan mereka hilang mata pencarian walaupun kita mempunyai produk pelancongan yang menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Desa Lestari Kampung Suasa kali keempat, di sini kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Angkasa Sabah Datuk Noraini Salleh, Pengerusi Penganjur Pesta Desa (PEDESA) Kg Suasa Ruslan Muharam dan Pegawai Khas Parlimen Sipitang Matbali Musah.

Dalam perkembangan sama, Kamarlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan memberitahu, beliau akan mengajukan perkara tersebut kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman untuk tindakan lanjut.

“Saya akan berbisik kepada Ketua Menteri tentang perkara ini. Dan saya pasti beliau (Musa) akan melihat perkara ini dengan serius.

“Pada masa sama, saya juga akan memanjangkan ia kepada Pengarah JPS supaya caj yuran ini dapat dikekalkan pada kadar yang sama,” katanya.