Alur Sungai Tawau Bypass perlu dinaik taraf atasi banjir kilat

0

KOTA KINABALU: Alur Sungai Tawau Bypass sepanjang 2,360 meter bermula dari Jambatan Sin Sin sehingga ke laut perlu dinaik taraf bagi mengatasi atau mengurangkan kejadian banjir kilat di Kampung Pasir Putih, Tawau.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata pada masa ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melaksanakan projek menaik taraf iaitu pelebaran dan pembesaran alur Sungai Tawau Bypass sepanjang 1,560 meter di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

“Sepanjang 230 meter masih dalam pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 yang dijangka siap Ogos 2018.

“Oleh itu, kejadian banjir kilat masih berlaku di Kampung Pasir Putih, Tawau disebabkan terdapat 570 meter alur sungai Tawau (bahagian rezab kampung) yang belum dinaik taraf.

“Berikutan tragedi berkenaan, 59 buah rumah perlu dipindahkan dalam jajaran itu,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Muis Picho (BN-Sebatik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini.

Abdul Muis ingin tahu tindakan kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu banjir kilat di Kampung Pasir Putih, Tawau.

Joachim berkata pihak JPS merancang menyempurnakan baki projek itu dalam tempoh 2018 hingga 2020 dengan kos peruntukan RM16.5 juta.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa melaksanakan pemantauan rapi dan berterusan terhadap pencemaran udara dan air hasil daripada operasi kilang kertas Sabah Forest Industry (SFI) dan Sabah Ammonia dan Urea (SAMUR) di Sipitang.

Katanya, setakat ini tahap pelepasan ke udara oleh kilang SFI adalah mematuhi syarat kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang ditetapkan pihak JAS persekutuan.

“Bagi SAMUR, kilang itu masih dalam peringkat pembinaan dan belum beroperasi sepenuhnya.

“Semasa pembinaan, pihak JAS hanya memantau tahap bacaan jumlah pepejal terampai.

Sepanjang pemantauan itu kilang berkenaan sentiasa mematuhi standard dibenarkan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Bujang (BN-Sindumin) yang bertanya tentang status indeks pencemaran udara dan air di SFI dan SAMUR. — Bernama