Malaysia, Brunei runding Lebuhraya Pan Borneo

0
ERAT: Najib (kiri) bersalaman dengan Sultan Hassanal Bolkiah di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra semalam. — Gambar Bernama

ERAT: Najib (kiri) bersalaman dengan Sultan Hassanal Bolkiah di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei siap sedia untuk memulakan rundingan berhubung rangkaian Lebuhraya Pan Borneo bagi menambah baik kesaling-hubungan dan merancakkan perkembangan ekonomi dan sosial antara kedua-dua negara itu.

Dalam kenyataan bersama Malaysia-Brunei dikeluarkan bersempena Perundingan Pemimpin Tahunan ke-20 antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di sini Selasa, mereka mengimbau kembali perbincangan mereka mengenai mustahaknya menambah baik dan menaik taraf rangkaian lebih raya di kedua-dua negara demi memudahkan kesaling-hubungan antara Sabah dan Sarawak, dengan Brunei.

“Mereka menggesa pegawai-pegawai kedua-dua negara memulakan rundingan mengenai rangkaian Lebuhraya Pan Borneo oleh kerana penambahbaikan hubungan akan mempertingkat pertumbuhan ekonomi dan sosial antara kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Projek Lebuhraya Pan Borneo sejauh 2,325km dari Telok Melano ke Lawas di Sarawak dan dari Sindumin ke Tawal di Sabah dijangka siap menjelang 2021.

Kedua-dua pemimpin itu juga mengulangi kepentingan kerjasama pertahanan demi memelihara keamanaan dan kestabilan berikutan cabaran dan ancaman keselamatan yang meningkat di rantau ini.

Mereka menyatakan puas hati dengan kerjasama bilateral yang wujud di bidang pertahanan, yang terus kukuh menerusi mesyuarat, pertukaran pandangan, pertukaran lawatan yang kerap, kursus latihan dan eksersais tentera antara Angkatan Tentera Diraja Brunei (RBAF) dengan Angkatan Tentera Malaysai (MAF).

Mereka mengambil perhatian terhadap penglibatan kerjasama yang selesa antara RBAF dan MAF dan memuji usaha yang menyumbang kepada pemeliharaan keamananan dan kestabilan antarabangsa, khususnya di bawah seliaan Pasukan Interima Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan dan Pasukan Pemantau Antarabangsa di selatan Filipina.

Kedua-dua pemimpin juga mengambil perhatian bahawa pegawai-pegawai Malaysia dan Brunei kini sedang membincangkan perkara berhubung kerjasama perikanan dan menggalakkan mereka menyelesaikan perbicangan dengan cepat.

Menurut kenyataan bersama itu, mereka juga menggesa Kumpulan Kerja Pelancongan Brunei Darussalam-Sarawak meningkatkan kerjasama dan kolaborasi dalam bidang aksesibiliti dan kesaling-hubungan, pemasaran dan promosi serta keselamatan dan sekuriti.

Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah turut menyatakan sukacita dengan ketibaan jumlah pelancong yang menggalakkan di kedua-dua negara dan menggesa pegawai-pegawai mengukuhkan lagi kerjasama pelancongan.

Kedua-dua pemimpin juga puashati dengan usaha kedua-dua negara dalam menangani ancaman penyakit berjangkit seperti virus Zika.

Mereka menggesa diteruskan komitmen pasukan teknikal bersama dalam mempercepat usaha untuk menyelesaikan penandaan dan ukur tanah sempadan antara Malaysia dan Brunei, khususnya di kawasan keutamaan. — Bernama