Tarik balik buku teks Sejarah Tingkatan 1: Pemuda BN Tenom

0

TENOM: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Bahagian Tenom menggesa Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks Sejarah Tingkatan 1 kerana mendakwa ada antara kandungannya berkenaan adat resam dan budaya suku kaum Murut adalah tidak benar.

Pengerusinya Jamawi Jaafar berkata beberapa fakta di dalam buku teks sejarah tersebut, terutamanya dalam bab ‘Adat Kematian’ adalah tidak benar dan tidak berlandaskan apa yang diamalkan oleh suku kaum Murut dalam soal pengurusan kematian dan pengebumian.

“Kami telah meneliti isi kandungan buku ini terutamanya yang berhubungan dengan pengurusan dan adat kematian yang didakwa oleh penulis mayat dibakar di dalam tempayan dan disimpan di dalam rumah selama tujuh hari, (sebenarnya) tidak diamalkan suku kaum Murut,” katanya dalam kenyataan, di sini kelmarin.

Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenom berkata penulis buku teks berkenaan tidak peka, kurang membuat penyelidikan dan tidak bertanggungjawab dalam mendapatkan maklumat tepat mengenai adat resam kaum Murut di Sabah.

Katanya, perkara itu telah menimbulkan kemarahan masyarakat Murut di Sabah yang majoritinya menetap di daerah Tenom, Pensiangan dan Sipitang selepas isu itu menjadi viral dalam media sosial.

“Kami juga mahu penulis serta penerbit buku ini memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Murut,” katanya.

Menurut Jamawi, bantahan secara bertulis telah pun dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan dan penerbit buku berkenaan.

Sementara itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Nabawan oleh Persatuan Murut Sabah menerusi ketua belianya Raymond Ahuar, meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu serta mengambil tindakan sewajarnya. — Bernama