Khabar gembira buat Sarawak

0
HAMPIR PULIH: Ronny bakal kembali beraksi sebaik saingan Liga Super bersambung.

HAMPIR PULIH: Ronny bakal kembali beraksi sebaik saingan Liga Super bersambung.

KUCHING: Pemain pertahanan, Ronny Harun membawa khabar gembira kepada kem Sarawak selepas dilapor akan kembali beraksi sebaik saingan Liga Super 2016 bersambung pada bulan depan.

Jurulatih sementara Sarawak, David Usop ketika memaklumkan berita itu semalam berkata proses pemulihan pemain kelahiran Sipitang, Sabah itu berjalan dengan baik dan dijangka pulih sepenuhnya seperti yang dijangkakan.

“Beliau teah 80 peratus sembuh dari kecederaan dan telah mula menjalani latihan ringan.

“Saya yakin, berdasarkan kondisi Ronny ketika ini beliau dapat beraksi semula sebaik liga bersambung pada bulan depan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga kagum dengan semangat ditunjukkan oleh Ronny yang bergitu beria untuk kembali membantu skuad ketika Sarawak sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran.

Ronny direhatkan sejak awal bulan Mac selepas mengalami keretakan tulang pada telapak kaki kanan semasa perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam.

Pada perlawanan tersebut, Sarawak yang masih dikendalikan oleh Datuk K Rajagobal tumpas 2-4 meskipun mendahului perlawanan.

David bagaimanapun enggan memperjudikan nasib untuk menguji Ronny pada perlawanan persahabatan yang akan Sarawak sertai bermula 24 Jun ini di Semenanjung Malaysia.

“Saya tidak mahu mengambil risiko kerana Ronny sangat penting untuk skuad selepas kita kehilangan Davide Grassi,” tegasnya.

Tambahan pula, menurut David, saingan liga dijangka bertambah sengit sebaik bersambung kerana berlangsung serentak dengan kempen Piala Malaysia yang bermula pada 13 Jun 2016.

Sarawak merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang Selangor PKNS dan Kuala Lumpur dengan skuad dijangka akan berlepas pada 24 Jun ini.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam kenyataan akhbar semalam mengumumkan pelepasan Davide selepas kedua belah pihak mencapai persetujuan bersama.

FAS juga menyebut beberapa pemain baharu telah dikenalpasti dan akan mula menjalani ujian sebaik latihan bersambung pada 13 Jun ini.

Dari segi persediaan untuk menghadapi SUKMA 2016, FAS berkata pemain-pemain yang berada dalam skuad Piala Presiden, Piala Belia dan beberapa pemain yang bermain di luar negeri akan digabung bagi membentuk skuad Sarawak.

Antara yang bakal menggalas tanggungjawab adalah tiga pemain skuad senior Nurshamie Iszuan Amin, Tommy Mawat dan Rodney Celvin.