Musa ketuai 5,000 penyokong bersama Awang Tengah hari ini

0

LAWAS: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman mengetuai rombongan Barisan Nasional (BN) Sabah menyertai lebih 5,000 penyokong calon Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di pusat penamaan calon hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Yahya Husini dan anggota kabinet negeri dan wakil parti-parti komponen BN Sabah dijangka turut serta.

Kehadiran pemimpin nombor satu Sabah dan rombongan menunjukkan sokongan, perpaduan dan hubungan rapat antara pemimpin Sabah dan pemimpin Sarawak khususnya Awang Tengah.

Selain merupakan jiran terdekat Lawas bersempadanan dengan Sindumin, Sabah dan Merapok, Lawas.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua merupakan naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari itu turut menerima sambutan hebat penyokong dan wakil-wakil parti komponen BN lain sebaik tiba di Lawas minggu lalu selepas pembubaran DUN pada 11 April.

Awang Tengah dan isteri, Datuk Dayang Morliah Awang Daud berkata mereka terharu dengan sambutan penduduk di Lawas.

Beliau turut mempengerusikan mesyuarat persediaan BN untuk hari penamaan calon dan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Lawas pada 29 April ini.