Sabah perlu produk inovatif tarik pelabur minyak, gas

0

KOTA KINABALU: Sabah perlu berinovasi dari segi tawaran produknya bagi menarik minat pelabur serta peniaga minyak dan gas dalam usaha menjadi penggiat industri itu yang kompetitif.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata ia termasuk penawaran produk hiliran yang boleh memberi potensi besar untuk negeri menjadi hab serantau strategik bagi perdagangan minyak dan bekalan.

“Sebagai tambahan, industri minyak dan gas sewajarnya sentiasa bergerak seiring dengan trend serta membuat keputusan bijak dan tepat untuk kekal relevan,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian persidangan kepimpinan industri minyak dan gas di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri.

Persidangan sehari itu dianjurkan oleh Teroka Asia Sdn Bhd dengan kerjasama Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang serta Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah.

Musa berkata lokasi Sabah yang strategik dalam rantau Asia Pasifik membolehkan ia menyediakan laluan perkapalan yang terkemuka, sekali gus menjadikannya menarik untuk peniaga minyak.

Kerajaan negeri kekal komited bagi menyediakan sistem penyampaian berkesan untuk industri itu.

Beliau turut mengingatkan penggiat industri yang terlibat dalam aktiviti membabitkan sumber semula jadi supaya sentiasa mematuhi piawaian tertinggi bagi memelihara alam sekitar.

“Langkah mitigasi yang sepatutnya perlu dilaksanakan lebih awal seperti yang disyaratkan undang-undang bagi aktiviti yang memberi kesan kepada alam sekitar dan masyarakat, serta mesti dilakukan secara teliti,” katanya. — Bernama