Jabatan Penerangan Limbang perhebat promosi Sejiwa Senada

0

LIMBANG: Jabatan Penerangan Daerah Limbang memperhebat aktiviti promosi bagi Program Sejiwa Senada (SJSN) 2016 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Limbang pada 1 hingga 3 April ini.

Pegawai Penerangan Bahagian Peter Ah Came, Pegawai Penerangan Daerah Limbang Linda Padan bersama anak-anak buahnya menghantar risalah Program SJSN ke beberapa kawasan di bandar, perumahan, kampung dan rumah panjang.

Antaranya melibatkan Perumahan Ranggau, Desa Pabahanan, Batu Biah selain rumah panjang di kawasan Medamit.

Selain itu kenderaan Jabatan Penerangan Limbang turut menggunakan pembesar suara bagi mempromosikan Program SJSN yang diadakan pada hujung minggu ini.

Sebelum ini kakitangan Jabatan Penerangan Limbang dan Lawas mengadakan konvoi bersama Persatuan Motosikal Bahagian Limbang (PMBL) di pekan Medamit, bandar Limbang, daerah Temburong Negara Brunei, Trusan, Sundar, bandar Lawas, Merapok dan berakhir di Sipitang Sabah.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg turut menyasarkan 100,000 orang khususnya pengunjung negara jiran Brunei dan wilayah Kepulauan Borneo akan hadir.

Pelbagai program bakal diadakan seperti pameran pembangunan, pentas rakyat, persembahan hiburan artis jemputan khas dan tempatan, pameran usahawan Sarawak, aktiviti masyarakat, seminar pembangunan dan kepimpinan ketua masyarakat/ketua kaum, ceramah dan e-Peraduan.

SJSN Limbang kali ini juga menawarkan hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia untuk e-Peraduan diikuti banyak lagi hadiah menarik antaranya seekor kerbau, motosikal, set televisyen, telefon pintar, peti sejuk dan pelbagai barangan lumayan lain.

Pengunjung juga akan dihiburkan oleh artis terkenal tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Datuk Jamal Abdillah, Bob Yusof, Ifa Raziah, Rahmat Mega, Sheeda Dangdut dan artis tempatan Sarawak.