Bot karam: Mangsa terakhir ditemui

0
DITEMUI AKHIRNYA: Mayat mangsa terakhir bot karam yang ditemui oleh penduduk rumah panjang di Belaga semalam.

DITEMUI AKHIRNYA: Mayat mangsa terakhir bot karam yang ditemui oleh penduduk rumah panjang di Belaga semalam.

BINTULU: Mayat terakhir mangsa perahu panjang karam di Sungai Rajang berdekatan Long Buyun, Belaga pada Selasa, 22 Disember tahun lalu ditemui penduduk kampung di sini semalam pada jarak lapan hingga 10 kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Belaga, DSP Melay Tingom semasa dihubungi Utusan Borneo berkata mayat mangsa, Sushmitasen Thomas, 15, dijumpai penduduk Long Buyun Uma Tanjong Belaga berdekatan SK Nanga Telawan sekitar jam 7.30 pagi.

“Sejurus penemuan itu, mayat itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu sekitar jam 12 tengah hari ini (semalam) untuk bedah siasat,” ujarnya.

Begitupun, katanya, pihaknya belum dimaklumkan mengenai masa bedah siasat akan dijalankan ke atas mangsa.

Mayat Sushmitasen menamatkan pencarian selepas 15 hari tragedi berkenaan dan dua mangsa lain ditemui pada 24 Disember oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) manakala mangsa pertama ditemui sehari sebelumnya, iaitu pada pagi 23 Disember.

Tiga mangsa terbabit ialah Sahirza Mahir, 32, Adriana Risnah,12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Telawan dan Nur Amirsha Qaseh Abdullah, 4.

Nur Amirsha merupakan anak kepada Sahirza Mahir dari Kampung Mesapol, Sipitang, Sabah.

Lima mangsa terselamat dalam kejadian itu ialah Liam Kelilit, 50, Bungan Nyaleng, 50, Agnes Liam, 33, Olivia Ploma Thomas, 8 dan Ayu, 4.

Berikutan tragedi itu, operasi SAR digerak dan giat dijalankan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), sukarelawan dari Belaga termasuk dari Sarawak Hidro dan Pejabat Daerah Belaga untuk mencari empat mangsa hilang tersebut.

Operasi itu turut mendapat sokongan lojistik antaranya menggunakan bot dan helikopter yang dimiliki oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi penyelamat lain.