Pentingkan diri sendiri membuatkan Islam mudah dipergunakan: Sapawi

0

SIPITANG: `Ketepikan sikap taksub dan sikap yang pentingkan diri sendiri.’

Nasihat itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Sipiitang Datuk Sapawi Ahmad ketika ditemui pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini Khamis lalu.

Beliau berkata, umat Islam perlu sentiasa bersikap bijaksana dan bersatu untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

“Kita (umat Islam) berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ujian di mana ia perlu ditangani dengan umat Islam memperlihatkan sikap bijaksana dan bersatu…kejayaan dan kecemerlangan masih perlu untuk dicapai,” katanya.

Katanya, sikap taksub dan pentingkan diri sendiri hanya akan membuatkan Islam mudah dipergunakan dan diperkotak-katikkan.

Lebih menyedihkan katanya, sikap itu juga akan membuatkan umat Islam mundur dan akan ketinggalan.

“Jika ini berlaku, ia akan turut diwarisi oleh generasi Islam dan bukan mudah untuk kembali kerana cabaran yang dihadapi akan sentiasa berubah dan semakin mencabar,” katanya lagi.

Menurutnya, akibat sikap taksub dan pentingkan diri sendirilah yang memudahkan umat Islam dipecahbelahkan.

Sapawi menegaskan, selain perlu bijaksana dan bersatu, umat Islam perlu sentiasa meningkatkan diri dengan ilmu.

Katanya, ilmu amat penting dan ilmulah juga yang akan membolehkan umat Islam mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

“Ilmu hendaklah terus dituntut manakala al-Quran dan sunah perlu terus dijadikan panduan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Sapawi turut meminta agar umat Islam menghormati penganut agama lain di negara ini.

Katanya, sikap hormat-menghormati itulah yang membolehkan rakyat menikmati keharmonian dan nilai kasih sayang.

“Amalan inilah yang perlu kita wariskan kepada satu generasi dan generasi seterusnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu Sapawi melahirkaan rasa bangga dengan kehadiran umat Islam bagi menceriakan sambutan Maulidur Rasul berkenaan.

Menurutnya, kehadiran ramai itu membuktikan kukuhnya kesatuan dalam kalangan umat Islam.

“Ia membanggakan dan kita berharap perpaduan dan persefahaman dalam kalangan umat Islam bukan sahaja kekal tetapi terus berkembang,” katanya lagi.

Hampir 10,000 orang menceriakan sambutan Maulidur Rasul di mana 6,000 daripadanya adalah peserta daripada 62 kontinjen yang turut menyertai perarakan.