Perahu karam: tiga mangsa tungguh bedah siasat, seorang masih hilang

0
DITEMUI: Mangsa ketiga Nur Amirsha (kanan) yang ditemui anggota pasukan SAR pada jam 5.10 petang 24 Disember lalu.

DITEMUI: Mangsa ketiga Nur Amirsha (kanan) yang ditemui anggota pasukan SAR pada jam 5.10 petang 24 Disember lalu.

BINTULU: Tiga mangsa perahu panjang karam yang telah ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sehari selepas kejadian pada 23 dan 24 Disember lalu telah selamat dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk tujuan bedah siasat.

Ketiga-tiga mangsa tragedi berlaku di Sungai Batang Rajang berdekatan Rumah Long Buyun Belaga, petang Selasa, 22 Disember itu masih ditempatkan di bilit mayat unik forensik berkenaan.

Bagaimanapun, Pegawai Pemerintah Operasi SAR Inspektor Mohd Sohffi an Abu Hassan semasa dihubungi berkata, tarikh bedah siasat mangsa belum diputuskan dengan pihak Unit Forensik Hospital Bintulu.

Tiga mangsa tersebut ialah Sahirza Mahir, 32, ditemui jam 10 pagi Rabu pada jarak 100 meter dan Adriana Risnah, 12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Telawan ditemui jam 2 petang Khamis pada jarak 50 meter, seterusnya pada hari sama, mayat Nur Amirsha Qaseh Abdullah, 4, ditemui jam 5.10 petang pada jarak enam kilometer, masing-masing dari tempat kejadian.

Nur Amirsha dari Kampung Mesapol, Sipitang Sabah merupakan anak kepada Sahirza Mahir manakala pengecaman dan pengesahan mayat mangsa Adriana Risnah pula dilakukan ibunya, Rosnah Liam dari Rumah Tanjong, Long Pawah, Belaga.

Semasa berita ini ditulis, seorang lagi mangsa masih hilang iaitu Sushmitasen Thomas, 15.

Inspektor Mohd Sohffi an berkata, operasi SAR masih giat dijalankan melalui udara dan air untuk mencari seorang lagi mangsa yang melibatkan kekuatan 60 anggota penyelamat dari pelbagai agensi.

Ia melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), sukarelawan dari Belaga termasuk dari Sarawak Hidro dan Pejabat Daerah Belaga.

“Operasi SAR bermula jam 7 pagi ini (semalam) sehingga tamat jam 6 petang meliputi kawasan pencarian sekitar Long Buyun ke Punan Bah sepanjang sungai terbabit,” ujarnya semalam.

Operasi itu turut mendapat sokongan lojistik antaranya bot dan helikopter yang dimiliki oleh agensi penyelamat yang terlibat.

Dalam tragedi pada jam 7 malam 22 Disember, sebuah perahu panjang yang dinaiki sembilan penumpang karam di Sungai Batang Rajang berhampiran Long Buyun, Belaga.

Insiden itu telah menyebabkan empat mangsa hilang, manakala lima mangsa terselamat dalam kejadian itu ialah Liam Kelilit, 50, Bungan Nyaleng, 50, Agnes Liam, 33, Olivia Ploma Thomas, 8, dan Ayu, 4.