Kerajaan lulus RM80 juta perkasa perkhidmatan imigresen Sarawak

0

MIRI: Kerajaan telah meluluskan kira-kira RM80 juta untuk meningkatkan perkhidmatan dan fasiliti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak khasnya di kawasan pedalaman Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr Zahid Hamidi berkata ia termasuk pembinaan kuarters depot tahanan JIM Semuja, Serian dengan kos keseluruhan RM60 juta.

“Ia adalah usaha membendung masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk mengekang kemasukan individu yang tidak layak tinggal di negara ini.

“Peruntukan RM60 juta ini diharap dapat meningkat mutu perkhidmatan JIM Sarawak,” katanya pada majlis sambutan Hari Imigresen di Miri semalam.

Beliau berkata projek terbabit dijangka dilaksana pada 30 Mei 2016 dengan memberi kemudahan tempat tinggal dan kawasan persekitaran selesa kepada anggota JIM bertugas.

Di samping itu, beliau turut melulus peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pembinaan Pos Kawalan Sempadan JIM di Ba Kelalan, Lawas bagi menempatkan semua agensi penguatkuasaan.

“Ini usaha berterusan mengawal serta memantau pergerakan individu, barangan termasuk meningkat kawalan keselamataan kawasan sempadan utara Sarawak,” katanya.

Menteri Dalam Negeri itu turut mengumumkan beberapa lagi khabar gembira kepada Sarawak termasuk lanjutan tempoh operasi di Pos Kawasan JIM Merapok dan Sindumin.

“Atas keperluan penduduk Sarawak dan Sabah, di antara pintu masuk Sindumin dan Merapok, saya meluluskan supaya masa operasi pintu masuk Merapok dan Sindumin dilanjutkan dari 10 malam sehingga 12 tengah malam,” jelasnya.

Zahid memberitahu perlanjutan tempoh operasi sehingga 12 tengah malam telah dilaksanakan di ICQS Sungai Tujuh, ICQS Tedungan, ICQS Limbang, IQCS Pandaruan, IQCS Limbang dan IQCS Mengkalap.

Kerajaan juga katanya akan menempatkan 100 pegawai tambahan ke Sarawak dan separuh daripadanya telah bertugas di negeri ini manakala selebihnya akan diarah bertugas tahun hadapan.

Sempena sambutan Hari Imigresen, kerajaan kata Zahid tidak lupa peranan dan sumbangan anggota JIM yang berjaya mengutip hasil sebanyak RM3.6 bilion pada 2014.

“Sehubungan itu, kerajaan mempertimbang bayaran insentif penguat kuasa berjumlah RM200 sebulan kepada 12,685 orang pegawai JIM seluruh negara melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM30.4 juta setahun,” jelasnya.