Lelaki sehelai sepinggang rumah kediaman terbakar

0

SIPITANG: Seorang penduduk yang baru pulang dari bekerja terkejut apabila mendapati rumah kediamannya musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Kalamauh di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Roslan Arris, 44,  bekerja sebagai pekerja am dalam syarikat yang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penyenggaraan di Hospital Siptang.

Beliau berkata, dia hanya mengetahui musibah itu semasa dalam perjalanan pulang dari bekerja melalui penduduk setempat.

“Sebaik  tiba di tempat kejadian, saya mendapati beberapa Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang mengawal keadaan, bagaimanapun rumah saya telah musnah,” katanya yang tinggal berseorangan di rumah berkenaan.

Roslan yang ditemui di tempat  kejadian berkata, beliau tinggal sehelai sepinggang kerana semua barang dan dokumen penting musnah dalam kejadian itu kecuali kad pengenalan dan lesen memandu.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Cawangan Sipitang, Abd Muin Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.51 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 5.02 petang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, rumah mangsa sudah habis terbakar dan pihak kami hanya sempat mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain,” katanya yang datang bersama empat anggota.

Tiada kemalangan nyawa dan kecederaan dilaporkan.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.