AXA (Beaufort) johan Kejohanan Badminton Jemputan Antara Kelab

0

LIMBANG: Pasukan AXA (Beaufort) muncul johan Kejohanan Badminton Jemputan Antara Kelab 2015 anjuran Persatuan Badminton Bahagian Limbang (PBBL) di Dewan Polis di sini, barubaru ini.

Selaku juara mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan piala.

Manakala, pasukan Kelab Tanjung Nangka Badminton (Brunei Darussalam) merangkul naib juara yang melayakkan mereka menerima RM2,000 berserta piala, pasukan WILDAAN BC (campuran Kuching, Kota Kinabalu dan Lawas) di tempat ketiga meraih RM1,000 dan piala dan pasukan KITARU (Wilayah Persekutuan Labuan) di tangga keempat mendapat RM500.

Terdahulu, sebanyak lapan kelab dari Wilayah Utara Borneo termasuk Limbang, Lawas, Sipitang, Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan menyertai kejohanan itu.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh ADUN Bukit Kota merangkap pengerusi PBBL Dr Abdul Rahman Ismail dan dihadiri oleh Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Sufian Mohat dan Timbalan Pengerusi PBBL Zaini Garib.

Setiausaha PBBL, Arni Kassim berkata selain bertujuan menggalakkan amalan cara hidup sihat dengan bersukan, kejohanan itu juga mampu mengeratkan silaturahim dan perpaduan melalui sukan dalam masyarakat di sini dan wilayah serumpun.