Acara ‘mini bike’ bakal jadi sukan baharu

0

LIMBANG: Sukan permotoran mini bike sebelum ini begitu popular di Sabah bakal menjadi sukan baharu di sini sekali gus menjadi salah satu tarikan pengunjung selepas berjaya diadakan buat pertama kali di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail berkata pemilihan Limbang sebagai venue penganjuran sukan itu satu langkah awal agar sukan itu dapat dipromosikan kepada golongan belia.

Menurutnya, walaupun belum mempunyai tapak kekal bagi kemudahan sukan permotoran namun bukan halangan penganjur melaksanakan sukan tersebut kepada golongan sasar.

“Limbang kini menjadi satu tarikan bagi sukan permotoran mini bike yang menjadi sukan pilihan menarik pengunjung ke sini,” katanya pada Kejohanan Motosikal Mini di Lapangan Terbang Lama di sini semalam.

Program anjuran Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Limbang turut mendapat kerjasama Kumpulan Buluh Perindu (KBP) dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Limbang.

Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Walikota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat, Pegawai KPS Limbang Latifah Yusop, Pengerusi Pengelola Kelab Motosikal Mini Sabah Mohd Masri @Pak Tam, Pengelola PPWS Limbang dan Lawas Mardiah Awang Said, Pengerusi PPWS Limbang Dayang Suridah Mohamad Superi dan Pengerusi KBP, Shamsudin Ahmad.

Dr Abdul Rahman mahu dengan adanya kejohanan itu dapat menaikkan semangat kerjasama dan bersatu padu dalam usaha memajukan daerah, negeri dan negara ini.

Seramai 15 peserta menyertai kejohanan itu membabitkan daerah Limbang, Beaufort, Labuan, Sipitang dan Kota Belud, Sabah.

Sementara itu, juara bakal menerima wang tunai RM300, trofi dan sijil, kedua menerima RM200, trofi dan sijil, ketiga menerima RM150, trofi dan sijil manakala pemenang keempat dan kelima menerima trofi dan sijil.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan termasuk Novis, Expert, Terbuka 60 kilogram ke bawah, Terbuka 60 kilogram ke atas dan kategori terbuka.