Ibu tunggal diminta daftar dengan jabatan

0
DAFTAR: Surinam (tengah) bersama ahli jawatankuasa Pertubuhan Ibu Tunggal kawasan Parlimen Sipitang.

DAFTAR: Surinam (tengah) bersama ahli jawatankuasa Pertubuhan Ibu Tunggal kawasan Parlimen Sipitang.

Kementerian mahu tahu jumlah sebenar untuk merangka program terbaik bagi mereka

BEAUFORT: Ibu tunggal khususnya dari kawasan Parlimen Sipitang diminta mendaftarkan diri dengan Jabatan Pembangunan Wanita untuk menerima pelbagai kemudahan dan keistimewaan yang diberikan oleh agensi-agensi kerajaan.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Parlimen Sipitang Datuk Surinam Sadikon berkata, pendaftaran itu penting bagi membolehkan kementerian mendapatkan jumlah sebenar ibu tunggal dan seterusnya merangka program terbaik untuk mereka.

“Saya sarankan agar ibu tunggal yang ada di kawasan ini, mendaftarkan diri dengan Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan yang terdekat untuk pengesahan sebelum pertubuhan mendaftarkan nama mereka dengan jabatan bagi membolehkan apa juga bantuan dan program yang disediakan oleh kerajaan dapat disalurkan kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Pertubuhan Ibu Tunggal cawangan Sabah bagi kawasan Parlimen Sipitang di Bilik Mesyuarat Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Sipitang di Beaufort baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Pertubuhan Ibu Tunggal Cawangan Sabah Hajah Pasang Apsin.

Menurut Surinam yang juga Bendahari Pertubuhan Ibu Tunggal cawangan Sabah, penyertaan mereka sebagai ahli dalam Pertubuhan Ibu Tunggal membolehkan pertubuhan itu merangka dan melaksanakan pelbagai program yang boleh memberikan manafaat kepada mereka.

Dalam pada itu Surinam berkata, golongan ibu tunggal perlu memanfaatkan segala peluang latihan yang disediakan oleh kerajaan termasuk kursus kemahiran seperti jahitan, kraftangan, makanan untuk menjana pendapatan mereka.

Katanya, melalui penyertaan mereka dalam kursus kursus berbentuk kemahiran boleh membantu golongan ini berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Apabila mereka mempunyai ilmu dan kemahiran, ia akan memberi kelebihan kerana boleh menghasilkan banyak idea baharu yang kreatif seterusnya dapat memasarkan produk untuk memperolehi pendapatan,” katanya.

Surinam yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian Sipitang berkata, kerajaan sentiasa memberi peluang, sokongan dan bantuan kepada golongan wanita untuk menceburi bidang perniagaan kerana ia dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

Selepas mesyuarat itu Surinam juga turut menyampaikan sumbangan berupa keperluan dapur dari Pertubuhan Ibu Tunggal cawangan Sabah kepada golongan ibu tunggal dari kawasan Parlimen Sipitang.