Banjir di Sabah makin buruk, jumlah mangsa di pindahkan bertambah

0

LALUAN EMPAT RODA: Hanya kenderaan pacuan empat roda dan jentera berat boleh mengharungi banjir di laluan jalan raya Membakut-Beaufort yang ditenggelami banjir di Membakut, semalam. — Gambar Penerangan

KUALA LUMPUR: Banjir di Sabah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang direkodkan petang semalam terus meningkat kepada 3,035 orang berbanding 2,394 orang tengah hari semalam.

Sementara di Sarawak jumlah mangsa menurun kepada 3,071 orang berbanding 3,400 orang tengah hari semalam, manakala di Kelantan dan Perak, jumlah mangsa masing-masing kekal 255 dan 77 orang.

Keadaan ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri terjejas banjir meningkat kepada 6,438 orang berbanding tengah hari tadi 6,126 orang.

Di SABAH, Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shahid Othman berkata jumlah mangsa banjir di empat pusat pemindahan di daerah berkenaan ialah 1,214 orang daripada 396 keluarga.

Di daerah kecil Membakut, Penolong Pegawai Daerah Membakut Sarudin Ismail berkata enam pusat pemindahan di daerah itu kini menempatkan seramai 1,694 orang daripada 604 keluarga.

Penolong Pegawai Daerah Sipitang, Matlin Dullah pula berkata jumlah mangsa banjir di daerah berkenaan kini 131 orang daripada 35 keluarga.

Sementara, Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata sebanyak 40 buah sekolah di Beaufort, Sipitang dan Papar masih ditutup sama ada disebabkan sekolah itu dinaiki air atau digunakan sebagai pusat penempatan banjir.

Di SARAWAK, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata walaupun bilangan mangsa semakin berkurangan namun jumlah pusat pemindahan bertambah dari 14 kepada 17 ketika ini.

Kini hanya tinggal satu pusat pemindahan yang dibuka di Kuching menempatkan 379 orang mangsa. Di Samarahan kini mempunyai tujuh pusat pemindahan yangmenempatkan 1,270 orang manakala dua pusat pemindahan di Mukah menempatkan 83 orang.

Manakala enam pusat pemindahan di Limbang menempatkan 1,216 orang, di Miri pula jumlah mangsa di sebuah pusat pemindahan di Long Panai kini seramai 123 mangsa.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang direkodkan petang ini kekal seperti tengah hari semalam iaitu 255 orang melibatkan 62 keluarga di lapan pusat pemindahan di Kuala Krai.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir juga masih kekal kepada 77 orang daripada 18 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan. — Bernama