Mayat ditemui dekat pusat hiburan

0

Mangsa yang berlumuran darah dipercayai terlibat dalam pergaduhan

Oleh Mastura Ismail

LAWAS: Mayat lelaki dalam keadaan terlentang dengan bahagian perutnya berlu­muran darah ditemui di kawasan pusat hiburan di daerah ini pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Donny Mudin, 37, berbangsa Lun Bawang dari Kampung Lintang Trusan ditemui pada jam 3.30 pagi, dipercayai ter­libat dalam pergaduhan.

Pemangku Ketua Polis Lawas ASP Mutang Dawat berkata, ekoran kejadian itu suspek utama juga berbangsa Lun Bawang dari Sipitang, Sabah berjaya ditahan ang­gotanya pagi semalam.

“Hasil maklumat orang ra­mai, kita berjaya menahan sus­pek utama pagi ini (semalam) bagi membantu siasatan,” ka­tanya ketika ditemui pemberita sebaik beliau tiba daripada Kuching di Lapangan Terbang Limbang semalam.

Mutang berkata, pihaknya belum dapat mendedah punca kejadian kerana ia masih dalam siasatan polis.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian pembunuhan terse­but terutama memuatnya dalam laman sosial.

Ditanya mengenai kebim­bangan orang ramai mengenai tahap keselamatan menjelang Pesta Lawas hujung bulan ini, kata Mutang, polis memberi jaminan keselamatan di dae­rah ini sentiasa terjamin.

“Jangan dengar spekulasi yang disebar. Biar polis yang menyiasat kes ini. Orang ra­mai juga tidak perlu bimbang kerana ini kes terpencil,” katanya lagi.