Jelajah, lawatan erat hubungan tiga negara

0

Jelajah CSR PPTD, Lawatan Ilmiah TransBorneo disertai Malaysia, Indonesia dan Brunei

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Program Jelajah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) dan Lawatan Ilmiah TransBorneo membantu mengeratkan hubungan tiga negara.

Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datu Robert Lian berkata, program yang disertai tiga negara, Malaysia melalui Sarawak dan Sabah, Kalimantan Barat Indonesia dan Brunei itu bersifat kebertanggungjawapan organisasi terhadap komuniti dan alam sekitar.

“Program ini dapat menjalinkan hubungan kita dengan negara jiran iaitu Kalimantan Barat Indonesia dan Brunei sekali gus mengukuhkan kerjasama di pintu masuk sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan Konvoi Program Jelajah CSR PPTD dan Lawatan Ilmiah TransBorneo di pekarangan Bangunan Sultan Iskandar, Simpang Tiga di sini semalam.

Program yang diadakan dari 22 Oktober hingga 2 November itu disertai 52 peserta terdiri daripada 38 pegawai PTD, enam kru dokumentari, seorang doktor perubatan, seorang jurukamera dan enam pemandu sukarela.

Malah, Robert memberitahu bahawa Program Jelajah CSR PPTD itu juga akan memberi pengalaman baharu kepada peserta tentang perbezaan suasana antara tiga negara, Malaysia (Sarawak dan Sabah), Kalimantan Barat Indonesia dan Brunei.

“Kita mempunyai 1,634 kilometer sempadan antara Sarawak dan Kalimantan Barat Indonesia yang mana negeri ini menjadi tarikan orang di sana datang ke sini.

“Kamu akan melihat kenapa ia terjadi dan menyaksikan sendiri perbezaannya dan saya harap selepas ini nanti ada di kalangan peserta akan sukarela datang berkhidmat di Sarawak,” tambahnya.

Selain itu, katanya program itu juga dapat memberi peluang, pendedahan, pengalaman kepada peserta dan penglibatan mereka dalam membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak Datu Abu Bakar Mat.

Mengenai program itu, peserta konvoi akan singgah di beberapa lokasi seperti Pontianak, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri, Lambir, Bandar Seri Begawan di Brunei, Lawas, Ba’Kelalan, Sepitang Sabah,Sekolah Kebangsaan Long Pasia, Kundasang dan lokasi terakhir di INTAN Sabah.