Ops Selamat V, kemalangan maut meningkat di Sabah

0

Oleh RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah mencatatkan peningkatan 17 kes maut sepanjang Ops Selamat V sempena Aidilfitri lalu berbanding 12 kes pada Ops Selamat IV tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, operasi itu yang membabitkan 30 lokasi ‘hitam’ di seluruh negeri dan telah bermula sejak 21 Julai sebelum berakhir 4 Ogos lalu.

Menurut beliau, daerah Tawau mencatatkan kes kemalangan maut tertinggi iaitu empat kes diikuti Kota Kinabalu, Labuan, Papar, Penampang, Ranau dan Beluran masing-masing dua kes.

Bagi daerah Sandakan, Keningau dan Beaufort masing-masing satu kes manakala daerah Tenom, Tuaran, Kota Belud, Lahad Datu, Semporna, Kudat, Kinabatangan, Sipitang, Kota Marudu serta Kunak tidak menyumbang kepada sebarang kes kemalangan maut.

“Berdasarkan statistik Op Selamat 5, kadar kemalangan maut meningkat tujuh kes berbanding 12 kes tahun lalu.

“Sehubungan itu, kita akan berusaha membendung peningkatan kemalangan maut pada musim perayaan tahun hadapan,” katanya di sini kelmarin.

Sementara itu, beliau berkata kontinjen Sabah pada masa sama berjaya mendapat impak positif berhubung pelaksanaan Ops Selamat Balik Kampung yang dijalankan bersempena Ops Selamat V lalu.

“Kita berjaya mencatat prestasi memberangsangkan dengan kadar pecah rumah bagi penduduk yang berdaftar dengan polis sempena Ops Selamat V lalu dengan catatan tahap sifar.

“Menurut statistik Op Selamat, jenayah pecah rumah dilihat menurun dua kali ganda berbanding tahun lalu. Pada tahun ini hanya 17 kes dilaporkan berlaku sepanjang Op Selamat musim perayaan berbanding 71 kes tahun lalu,” katanya.